Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding Dolar AS disokong sentimen positif dalam pasaran ekuiti serantau.

Pada jam 9 pagi, ringgit didagang tinggi 4.3850/3940 berbanding dolar, berbanding 4.3935/3975 pada jam 5 petang Rabu.

Ringgit didagang bercampur dengan matawang utama lain dengan Dolar Singapura pada 3.0866/0914 dan yen pada 3.6575/6666, Pound Sterling pada 6.6323/6477 dan euro pada 4.8945/9055.

Sebelum ini Bank Negara menegaskan tiada keperluan untuk menambat ringgit ke Dolar AS susulan asas ekonomi negara kekal kukuh.

Selain itu penambatan nilai ringgit akan mengubah pelarasan harga dan permintaan yang akan memberikan kesan besar kepada ekonomi.

Ringgit sebelum ini mencecah paras RM4.48 berbanding Dolar AS, terendah sejak Januari 1998.

Sementara itu saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan awal Khamis susulan peningkatan pembelian saham tempatan ekoran pemulihan sentimen yang disaksikan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pasaran positif dengan kaunter untung melebihi kaunter rugi 137 kepada 53.

Antara saham sektor yang mencatatkan peningkatan termasuk sektor perbankan dan perindustrian sementara perladangan menyusut.