KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS di tengah-tengah minat belian baharu untuk mata wang tempatan.

Pada jam 9.18 pagi, mata wang tempatan itu menambah nilai kepada 4.4550/4600 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.4570/4585.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes menjangkakan gandingan dolar AS/ringgit diniagakan dalam julat yang sangat ketat menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengenai dasar ekonomi AS lewat hari ini.

"Meskipun kenaikan 75 mata asas sudah diambil kira, pasaran masih berbelah bahagi terhadap hala tuju Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Sekiranya pengerusi Fed Jerome Powell mengekalkan pendirian menentang inflasi yang agresif, ringgit boleh lemah berdasarkan pada perbezaan kadar faedah dolar AS/ringgit yang semakin meluas," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, nilai mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2069/3109 daripada penutupan Selasa 3.2104/2119, lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2497/2536 daripada 3.2628/2644 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5183/5233 daripada 4.5341/5356 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding pound British kepada 5.3652/3712 daripada 5.3533/3551 semalam.

-- BERNAMA