KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong permintaan rendah terhadap dolar AS susulan laporan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) sedang beralih kepada kadar lebih perlahan dalam mengetatkan kitaran kadar faedahnya, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6360/6405 berbanding dolar AS daripada 4.6950/6990 ketika ditutup pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Oktober yang lebih rendah berbanding jangkaan mendorong pasaran menjangkakan kenaikan 50 mata asas (bps) oleh Fed pada Disember ini, turun daripada 75 bps, yang merupakan berita baik untuk ringgit.

Beliau berkata kenaikan dolar AS sejak tahun lepas menyebabkan pasaran Malaysia semakin terdedah kepada aliran keluar modal.

"Bagaimanapun dengan penurunan inflasi itu, kelemahan luaran telah berkurangan dan dijangka membuka pintu kepada pelaburan masuk memandangkan dolar AS yang lebih rendah dan jangkaan bahawa Fed kurang agresif.

"Ini seharusnya memberi manfaat kepada ringgit daripada perspektif aliran masuk modal," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit bagaimanapun didagangkan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3512/3549 daripada 3.3459/3490 ketika ditutup pada Khamis dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2682/2719 daripada 3.2048/207.

Ringgit lemah berbanding euro kepada 4.7208/7254 daripada 4.6781/6821 semalam dan turun berbanding pound British kepada 5.4084/4136 daripada 5.3387/3432.

-- BERNAMA