KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot susulan data ekonomi AS yang dikeluarkan berada di bawah jangkaan, selain kesanggupan untuk mengambil risiko yang meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.6350/6385 berbanding dolar AS daripada 4.6445/6475 pada Selasa.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembukaan pekerjaan AS merosot kepada 8.827 juta pada Julai berbanding anggaran konsensus sebanyak 9.465 juta.

Katanya angka itu turut berada dalam trend penurunan selepas mencapai paras tertinggi sebanyak 11.012 juta pada Disember 2022, menunjukkan permintaan terhadap tenaga kerja oleh majikan semakin berkurangan.

"Ini akan menyokong tanggapan pasaran tenaga kerja lemah dalam persekitaran sentimen perniagaan yang lemah seperti yang dicerminkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (IPP)," katanya.

Katanya Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.56 peratus kepada 103.477 mata manakala hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun berkurangan lapan mata asas kepada 4.12 peratus dengan hasil untuk tempoh tiga bulan turut merosot empat mata asas kepada 5.43 peratus.

"Oleh itu, ringgit berbanding dolar AS dijangka mencatatkan kenaikan berikutan data menunjukkan kepada menyokong pandangan bahawa Rizab Persekutuan mungkin kurang menyokong kadar faedah tinggi pada masa depan.

"Kami menjangka mata wang tempatan akan mencecah antara RM4.63 dan RM4.64 hari ini berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkongsi bahawa pergerakan penurunan dolar AS adalah disebabkan oleh data keyakinan pengguna di AS, yang mencatatkan lebih rendah daripada jangkaan pada 106.1 sebenar berbanding 116 yang diunjurkan.

"Berdasarkan petunjuk ini mengukur tahap keyakinan pengguna dalam aktiviti ekonomi, ia adalah cara yang baik untuk menjangka kesan penggunaan isi rumah terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS.

"Dengan beberapa pakar telah menunjukkan kemungkinan senario inflasi yang tinggi di AS, keyakinan pengguna yang merosot membayangkan kemungkinan penurunan nilai dolar AS dalam jangka pendek hingga sederhana," katanya.

Sementara itu, ringgit turut dibuka rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding euro kepada 5.0382/0420 daripada 5.0221/0253 pada Selasa, susut berbanding pound kepada 5.8591/8635 daripada 5.8590/8628 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.1771/1797 daripada 3.1688/1711 semalam.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4326/4354 daripada 3.4297/4322 pada Selasa dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 13.2353/2510 daripada 13.2171/2324 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 303.6/304.1 daripada 304.3/304.7 pada Selasa dan turut meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.17/8.19 daripada 8.18/8.19 sebelum ini.

-- BERNAMA