KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini walaupun tarikan dolar AS sebagai mata wang selamat kekal teguh dalam keadaan sentimen mengelakkan risiko yang melanda pasaran.

Menurut penganalisis, dolar AS turut menerima faktor sampingan berikutan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah dengan memaklumkan bank pusat AS mungkin perlu mengekalkan kadar yang tinggi untuk tempoh lebih lama berikutan inflasi yang berterusan. 

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7905/7950 berbanding dolar AS daripada 4.7945/7970 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks dolar AS (DXY) terus meningkat kepada 106.342 mata berikutan jangkaan penurunan kadar.

“Kadar inflasi yang masih tinggi di samping pertumbuhan ekonomi yang kukuh di AS telah menyebabkan pasaran menilai semula jangkaan mereka terhadap pelonggaran monetari tahun ini,” katanya.

Beliau berkata pendapatan bank utama AS turut mencatat prestasi baik pada suku pertama tahun ini berikutan perbelanjaan pengguna dan perniagaan yang kukuh.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan kekal stabil pada 3.2 peratus pada 2024 dan 2025, namun mencetuskan kebimbangan mengenai perkembangan perlahan konsolidasi fiskal yang boleh memberi tekanan meningkat kepada inflasi. 

"Secara keseluruhannya, ringgit akan stabil pada paras semasa dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0885/0932 daripada 5.0966/0992 semasa ditutup pada Selasa, naik berbanding yen Jepun kepada 3.0964/0995 daripada 3.1020/1038 semalam, dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9536/9595 daripada 5.9701/9732 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean.

Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0496/0661 daripada 13.0858/13.0983 semasa ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5103/5139 daripada 3.5135/5156 semalam.

Ringgit turut naik berbanding rupiah Indonesia kepada 296.1/296.5 daripada 296.3/296.6 semalam dan menambah berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.41/8.42 sebelum ini.

-- BERNAMA