KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal rendah minggu depan, dengan kemungkinan berjulat RM4.76 hingga RM4.77 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit secara umum berada pada kecenderungan rendah memandangkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) agak kukuh berbanding rakan setara daripada kalangan negara G7.

Justeru, dolar AS dijangka meraih permintaan tinggi, katanya kepada Bernama.

"Lebih-lebih lagi apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) dilihat tidak akan melonggarkan pendirian ketat terhadap dasar monetarinya, dan ini memberikan kelebihan tambahan kepada dolar," katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir pada minggu singkat susulan cuti umum ini, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur dalam keadaan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2023, pengurangan kadar faedah AS dan sentimen positif di pasaran ekuiti.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS kepada 4.7765/7820 daripada 4.7595/7705 minggu lepas.

Unit domestik juga diniagakan lemah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama lain.

Mata wang tempatan turun berbanding pound British kepada 6.0117/0186 daripada 6.0017/0156 ketika ditutup minggu lepas dan susut berbanding euro kepada 5.1419/1478 daripada 5.1241/1359.

Namun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1780/1818 daripada 3.1849/1925 minggu lepas.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang negara Asean.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5479/5522 daripada 3.5342/5429 minggu lepas, dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 305.7/306.1 daripada 304.3/305.2.

Unit tempatan lemah berbanding peso Filipina kepada 8.53/8.55 daripada 8.51/8.55 dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.2559/2763 daripada 13.2540/2902 pada Jumaat lepas. - BERNAMA