KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana selepas mata wang itu meningkat baru-baru ini, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7340/7390 berbanding dolar AS 4.7140/7170 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit menurun antara sebabnya kerana penepatan harian yuan yang rendah oleh Bank Rakyat China.

"Penurunan kadar dasar baru-baru ini oleh Bank Negara Switzerland sebanyak 25 mata asas kepada 1.50 peratus untuk memerangi inflasi juga menyebabkan dolar AS semakin kukuh kerana Rizab Persekutuan (Fed) AS tidak akan mengurangkan kadar dalam tempoh terdekat.

"Ini menjadikan dolar AS menonjol," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu naik berbanding euro kepada 5.1203/1257 daripada 5.1444/1477 semalam dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.9582/9645 daripada 6.0202/0241 ketika ditutup pada Khamis.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.1223/1258 daripada 3.1200/1222 sebelum itu.

Sementara itu, mata wang itu diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean, kecuali peso Filipina yang tidak berubah pada 8.41/8.42.

Ia juga mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.0116/0318 berbanding 13.0712/0850 pada Khamis.

Ringgit juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 299.8/300.4 daripada 300.8/301.1 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.5106/5145 berbanding 3.5205/5230 sebelum itu.

-- BERNAMA