Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup rendah selepas AS ancam sekatan 'D-Day Ekonomi' ke atas Iran

fotoBERNAMA
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.0405/0440 berbanding dolar AS daripada 4.0365/0405 semasa ditutup Jumaat lepas. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan ancaman AS mengenakan sekatan baharu “D-Day Ekonomi” yang lebih buruk ke atas Iran selain risiko dasar itu menjelang simposium tahunan Jackson Hole.

Keadaan dijejaskan lagi dengan ketidakstabilan berterusan dalam pasaran Perbendaharaan AS yang hanya mendorong langkah berhati-hati.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.0405/0440 berbanding dolar AS daripada 4.0365/0405 semasa ditutup Jumaat lepas.

Ahli Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes berkata ringgit diniagakan rendah sedikit hari ini, namun menyifatkannya sebagai pergerakan konsolidasi berhati-hati dan bukannya permulaan penyusutan yang lebih ketara.

"Berikutan ketidaktentuan mengenai 'D-Day' yang dijanjikan oleh Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent terhadap Iran, risiko dasar itu menjelang simposium Jackson Hole serta ketidakstabilan yang berterusan dalam (pasaran) bon Perbendaharaan AS menyebabkan pasaran pertukaran asing perlu meneliti banyak perkara," katanya kepada Bernama.

Presiden AS Donald Trump memberi amaran untuk melancarkan kempen sekatan kewangan yang buruk terhadap Iran dan dilabelkan sebagai “D-Day Ekonomi” terhadap Iran ketika perang di Tehran terus berlarutan.

Innes berkata pasaran sedang memantau rapat sekatan dirancang AS yang dijangka melibatkan lebih banyak sekatan sekunder secara meluas terhadap pihak pembeli, bank, syarikat penapisan, kapal dan pihak perantara yang mengendalikan minyak Iran, terutama penapis minyak bebas dan rangkaian pembayaran di China.

“Persoalan sebenar pasaran ialah sama ada Washington sekadar menambah nama dalam senarai sekatan sedia ada atau benar-benar mengancam bank dan pembeli utama China.

“Hanya langkah kedua itu akan mengetatkan aliran minyak dengan ketara dan meningkatkan dorongan Tehran untuk bertindak balas melalui Selat Hormuz,” katanya.

Innes berkata dolar AS juga mencatat pengukuhan sederhana ketika peniaga cuba mendapatkan sedikit perlindungan daripada ketidaktentuan ekonomi dan menjurus kepada langkah mengelak risiko.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit bergerak dalam julat kecil hari ini pada RM4.0355 hingga RM4.0427. 

“Wujud kecenderungan penurunan dolar AS ketika penggiat pasaran menunggu butiran pembelian balik hutang yang diumumkan oleh Setiausaha Perbendaharaan AS. 

“Laporan media menyatakan kalangan pengurus dana lindung nilai menaikkan jangkaan penurunan dolar AS itu memandangkan belian balik hutang berkenaan tidak akan menangani masalah hutang besar yang melepasi angka AS$40 trilion oleh kerajaan AS,” katanya.

Bessent dilaporkan mengejutkan Wall Street pada Rabu lepas apabila mengumumkan rancangan meningkatkan belian semula bon jangka panjang selepas hasil bon 30 tahun mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir 20 tahun.

Mohd Afzanizam berkata hasil bon Perbendaharaan 30 tahun AS mencecah 5.19 peratus susulan pengumuman pembelian semula hutang dan kini berada pada 5.25 peratus.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) pula pada 98.980 mata yang lebih rendah berbanding 99.897 mata dicatatkan pada awal Ogos.

Dalam pada itu, ringgit mencatat prestasi mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini. 

Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.5380/5402 daripada 2.5449/5476, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5080/5128 daripada 5.5118/5173 dan naik berbanding euro kepada 4.7132/7173 daripada 4.7227/7274 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan itu meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1805/1835 daripada 3.1809/1843 pada Jumaat lalu serta mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 227.9/228.3 daripada 228.1/228.4.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding peso Filipina kepada 6.55/6.56 daripada 6.54/6.55 dan turun sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.3589/3742 daripada 12.3474/3638 pada Jumaat lepas

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement