KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memandangkan pasaran memberi tumpuan kepada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Januari 2024 untuk melihat apa yang berlaku pada mesyuarat dasar pertama untuk tahun ini, kata AmBank Group.

Pada 6 petang, kadar pertukaran ringgit/dolar AS berada pada 4.7750/7795, tidak berubah berbanding semasa ditutup pada Jumaat lepas.

AmBank dalam nota penyelidikan ekonomi berkata hasil daripada mesyuarat FOMC itu akan menentukan sentimen untuk tempoh yang masih berbaki tahun ini.

"Bagaimanapun, kurangnya panduan yang jelas mengenai prospek penurunan kadar menyokong Indeks Dolar AS. Minit mesyuarat FOMC pada Januari menunjukkan penggubal dasar agak berhati-hati untuk menurunkan kadar dengan terlalu cepat," katanya.

Semasa ditutup hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.1696/1728 daripada 3.1677/1709 pada Jumaat lepas, susut berbanding pound Britain kepada 6.0552/0609 daripada 6.0437/0494 sebelum ini, dan berkurangan berbanding euro kepada 5.1756/1805 daripada 5.1656/1705.

Sementara itu, prestasi ringgit bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ia menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.3190/3375 daripada 13.2198/2381 pada Jumaat lepas dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5523/5559 berbanding 3.5489/5525 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.51/8.52 daripada 8.54/8.55 semasa ditutup Jumaat lepas dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 305.4/305.9 daripada 306.1/306.5 pada akhir minggu lepas.

-- BERNAMA