KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila pelabur menangguhkan aktiviti dagangan sementara menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.0875/0915 berbanding dolar AS 4.0885/0930 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus didagangkan dalam julat sempit berbanding dolar AS.
Sementara itu, kebanyakan mata wang Asia turut mencatatkan corak dagangan yang sama apabila pedagang dan pelabur menantikan keputusan FOMC yang dijadual diumumkan lewat malam ini, katanya.
"Dolar AS berpotensi mengukuh sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) mengambil pendirian yang lebih cenderung kepada dasar monetari yang lebih agresif, memandangkan harga minyak mentah yang kekal tinggi boleh memberi petunjuk bahawa penurunan kadar inflasi pada Jun mungkin hanya bersifat sementara," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata perkembangan di Asia Barat dilihat masih tidak menentu susulan laporan bahawa tentera AS berjaya memintas peluru berpandu balistik Iran yang dilancarkan ke arah pasukannya, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah global.
"Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing meningkat 3.67 peratus kepada US$82.17 setong dan 3.79 peratus kepada US$87.28 setong," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 2.4982/5008 daripada 2.4948/4976, merosot berbanding euro kepada 4.6561/6606 daripada 4.6429/6480 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4351/4405 daripada 5.4287/4347 pada Selasa.
Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang negara serantau.
Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 226.1/226.5 daripada 226.0/226.4, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1632/1666 daripada 3.1603/1640, turun berbanding baht Thailand kepada 12.1971/2138 daripada 12.1494/1681 serta susut berbanding peso Filipina kepada 6.65/6.67 daripada 6.63/6.64 semalam.
-- BERNAMA