Prestasi ringgit yang mencatat momentum pengukuhannya baru-baru ini, diunjur berterusan dan mencecah paras antara 3.8 dan 3.9 berbanding dolar AS pada tahun ini, kata HSBC.

Pengarah Urusan/Ketua Bersama Penyelidikan Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann juga menyifatkan ringgit tidak 'dinilai berlebihan' pada tahap ini dan masih perlu mencatat lebih banyak peningkatan selepas mengalami penyusutan secara ketara sejak dua tahun lepas.

"Kami juga positif terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2017 mencatat 5.9 peratus dan muncul sebagai ekonomi membangun ketiga terpantas di ASEAN selepas Filipina dan Vietnam," katanya pada taklimat media bersempena Forum Unjuran Asia dan Inisiatif 'Belt Road' (BRI) 2018 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Neumaan berkata walaupun angka pertumbuhan KDNK kukuh susulan penyusutan nilai ringgit itu ternyata meningkatkan eksport, HSBC bagaimanapun mengunjurkan penurunan kecil KDNK pada 5.1 peratus tahun ini susulan kenaikan ringgit.

Merujuk Kadar Dasar Semalaman (OPR), Neumann menjangkakan pelaksanaan langkah tegas yang lebih menyederhana tahun ini dengan Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur melaksanakan hanya satu kenaikan kadar faedah tahun ini yang berkemungkinan besar pada Mac ini.

"Kenaikan lebih banyak tidak perlu bagi mengelak tekanan inflasi. Malah, kemungkinan untuk kenaikan berkenaan diumumkan minggu ini juga terlalu awal kerana bank pusat itu perlu menunggu lebih banyak data membabitkan inflasi," katanya.

Selain itu, Neumann berkata Malaysia perlu memanfaatkan BRI itu bagi mengambil peluang daripada pasaran China berikutan kedudukan negara itu sebagai pemacu enjin pertumbuhan Asia ketika ini serta bakal muncul sebagai ekonomi terbesar dunia menjelang 2024.

Menurutnya, Agenda 2025 China - dasar perindustrian bagi mentransformasikan negara itu sebagai peneraju perusahaan global, akan menyaksikan peningkatan perbelanjaan modal kerana China perlu mengimport lebih banyak jentera dan produk berteknologi tinggi dari negara lain sebagai teras sektor terbabit.

"Ini sudah pun memberi manfaat untuk negara-negara seperti Taiwan, Jepun dan Jerman namun kami percaya Asia Tenggara turut mendapat faedahnya.

"Singapura menghasilkan beberapa produk berteknologi tinggi seperti jentera semikonduktor dan penggerudian manakala di Malaysia pula membabitkan peningkatan eksport elektronik," katanya.

Nuemann turut membangkitkan mengenai keperluan rantau ini meningkatkan laluan perkapalan selain kapasiti pelabuhan dan rel dalam usaha merebut peluang pasaran China yang pesat berkembang.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Renminbi (RMB) Global HSBC, Candy Ho berkata pembiayaan ringgit kekal relevan untuk BRI di Malaysia walaupun terdapat permintaan ketara terhadap RMB.

"Kami melihat peningkatan permintaan itu merangkumi pelbagai aktiviti rentas sempadan. Namun pada masa sama, mata wang domestik juga penting dari segi projek infrastruktur di serata negara berbeza.

"Malah, adalah biasa bagi syarikat meningkatkan mata wang domestik mereka kerana ini lebih berkesan dari segi kos," katanya.

Menurutnya, bagi pasaran modal Malaysia yang memiliki kelebihan dari segi penawaran sukuk juga mempunyai kapasiti sebagai sokongan terhadap projek-projek infrastruktur tersebut.

-- BERNAMA