BISNES
Ringgit mengukuh dalam sentimen perdagangan berhati-hati

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini dalam sentimen berhati-hati berikutan peniaga menantikan kejelasan mengenai kemungkinan lanjutan gencatan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini dalam sentimen berhati-hati berikutan peniaga menantikan kejelasan mengenai kemungkinan lanjutan gencatan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan dicatatkan pada 4.2110/2310 berbanding dolar AS daripada 4.2195/2245 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sebelum ini, AS dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengenakan tarif sebanyak 15 peratus ke atas kebanyakan import EU manakala kebanyakan import AS akan dikenakan tarif sifar di bawah perjanjian itu.
Katanya, pasaran turut memantau mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 29 dan 30 Julai, dengan konsensus menjangka tiada perubahan kepada Kadar Dana Persekutuan, yang pada masa ini antara 4.25 peratus dan 4.50 peratus."Berdasarkan perkembangan terkini, kebanyakan negara dilihat mengambil pendekatan akomodatif dalam menawarkan terma yang menggalakkan kepada AS. Ia masih dilihat sama ada langkah ini akan dapat mengurangkan imbangan dagangan dengan berkesan dalam tempoh terdekat.
"Bagaimanapun, kos menjalankan perniagaan di AS dijangka meningkat dan ia turut dilihat AS mungkin bergantung pada dolar yang rendah untuk meningkatkan daya saing eksport.
"Berdasarkan perkembangan ini, kami menjangka ringgit akan kekal dalam jajaran kecil antara RM4.22 dan RM4.23 berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8499/2863 daripada 2.8529/8565 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding pound kepada 5.6600/6869 daripada 5.6786/6853.
Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding euro kepada 4.9521/9757 daripada 4.9507/9566.
Ringgit turut mengukuh berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.0/259.3 daripada 258.5/258.9 pada Jumaat lepas dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2878/3039 daripada 3.2937/2978.
Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9809/13.0546 daripada 13.0268/0478 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.41 daripada 7.38/7.40 sebelum ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami