KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan kenaikan semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa dalam keadaan sentimen bercampur-campur memandangkan pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dua hari Bank Negara Malaysia (BNM) mulai esok, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4860/4895 berbanding dolar AS daripada 4.4900/4940 ketika ditutup pada Isnin.

Penganalisis berkata pasaran menjangkakan MPC BNM terus menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas lagi semasa mesyuarat minggu ini.

"Selagi Rizab Persekutuan AS kekal di landasan untuk kenaikan kadar yang lebih tinggi dalam beberapa bulan akan datang dan kebimbangan mengenai (ekonomi) China berterusan, kami berpandangan kebanyakan mata wang negara Asia termasuk ringgit akan bersifat defensif berbanding dolar AS," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2022/2052 daripada 3.1978/2011 ketika ditutup pada Isnin dan rendah berbanding euro kepada 4.4712/4747 daripada 4.4590/4630.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.1970/1997 daripada 3.1966/1997 semalam dan lemah berbanding pound British kepada 5.1984/2024 daripada 5.1689/1735.

-- BERNAMA