Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Afrika muncul sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi perdagangan halal - Reezal Merican

KUALA LUMPUR, Sept 23 - Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) chairman Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican speaks to members of the media during the International Sourcing Programme (INSP) media stakeout here today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Reezal Merican bercakap kepada pemberita pada sidang media ringkas selepas Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di sini hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Afrika muncul sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi industri halal global sekali gus menawarkan peluang yang meluas kepada pengeksport Malaysia dalam pelbagai kategori produk pengguna.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata populasi benua yang besar serta pasaran pengguna yang kian berkembang menjadikannya destinasi yang tidak boleh dilepaskan oleh pemain industri halal.

“Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 menarik penyertaan yang semakin meningkat daripada syarikat Afrika dengan Senegal membawa delegasi terbesar dari benua berkenaan manakala Rwanda dan Comoros merupakan antara negara peserta terbaharu dari benua tersebut.

“Afrika merupakan pasaran yang tidak boleh kita abaikan. Benua dengan jumlah penduduk yang begitu besar secara tidak langsung menawarkan peluang pasaran yang ketara,” katanya kepada pemberita pada sidang media ringkas selepas Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di sini hari ini.

Reezal Merican turut mencadangkan supaya bahasa-bahasa Afrika diintegrasikan ke dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI) MIHAS pada masa hadapan bagi menyokong penglibatan yang lebih besar dari benua berkenaan.

Aplikasi itu kini menyokong lapan bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Indonesia, bahasa Mandarin, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol dan bahasa Rusia.

Beliau berkata, aplikasi itu menyediakan ejen kecerdasan buatan (AI) khas untuk pembeli, pempamer dan pelawat perdagangan berdaftar bagi membantu mereka mengenal pasti rakan perniagaan yang sesuai berdasarkan keperluan khusus masing-masing.

Sebagai contoh, jelasnya, pembeli yang mencari sos tidak pedas dalam isipadu tertentu boleh memasukkan keperluan tersebut ke dalam aplikasi dan ia akan mengenal pasti pembekal yang sesuai dalam kalangan pempamer yang mengambil bahagian.

“Jika pembeli perlu mencari setiap pempamer satu demi satu, proses itu akan menjadi sukar. AI akan mengenal pasti pembekal yang berkaitan dan mengurangkan kemungkinan daripada terlepas peluang perniagaan.

"Ini bermakna kurang masa dihabiskan untuk membuat carian sekali gus memberi lebih banyak masa untuk perbincangan perniagaan dan interaksi,” kata beliau.

Reezal Merican memberitahu aplikasi tersebut juga boleh menguruskan janji temu dan menyediakan bantuan pelbagai bahasa sekali gus membantu mengatasi halangan komunikasi di antara pembeli dengan pembekal.

“Apa yang lebih penting, teknologi AI membolehkan pemadanan perniagaan dan keterlibatan berterusan melangkaui pameran fizikal selama empat hari tersebut. MIHAS tidak sepatutnya berkisar pada empat hari itu sahaja. Apabila ia tamat, pihak perniagaan tidak perlu menunggu setahun lagi untuk kembali berhubung.

“Dengan AI yang beroperasi secara berterusan, interaksi dan perniagaan boleh berlaku dalam 365 hari setahun,” kata beliau.

INSP tahun ini menampilkan 450 pembeli termasuk 50 pembeli premium dari 45 buah negara dan dijangka memudah cara kira-kira 4,000 sesi pemadanan perniagaan.

Reezal Merican memaklumkan pembeli yang mengambil bahagian perlu melalui proses saringan awal serta libat urus awal menerusi rangkaian antarabangsa MATRADE bagi mengenal pasti keperluan sebenar mereka sebelum dipadankan dengan syarikat Malaysia yang sesuai.

“Ini mengurangkan risiko ketidakpadanan apabila pembeli dan pengeksport bertemu,” kata beliau.

Reezal Merican menyatakan pembeli premium berkenaan merangkumi syarikat peruncit, pengimport dan pengedar antarabangsa terkemuka seperti Loblaw Companies Ltd dari Kanada, Robinsons dari Filipina, Metro dari China serta PT Sukanda Djaya dari Indonesia.

Menurut beliau, akses kepada syarikat antarabangsa berskala besar seperti itu lazimnya sukar diperoleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia walaupun mereka berkeupayaan menghasilkan produk berkualiti dan sedia untuk dieksport.

“Jika PMKS perlu mendekati syarikat-syarikat besar ini dan membuka ruang perniagaan dengan usaha sendiri, perkara itu hampir mustahil dilakukan.

“Itulah sebabnya kami menyediakan platform, akses dan peluang kepada mereka untuk membawa produk masing-masing ke pasaran eksport yang lebih luas,” kata beliau.

Reezal berkata MATRADE akan terus menjejaki perniagaan yang dijana menerusi MIHAS selepas acara itu termasuk menjalankan penilaian susulan selepas tiga bulan.

Jelasnya, proses pemantauan ini akan menentukan sama ada potensi urus niaga yang direkodkan semasa acara tersebut direalisasikan menjadi pesanan sebenar.

"Walaupun kontrak yang ditandatangani semasa MIHAS diklasifikasikan sebagai jualan sebenar, pesanan untuk tempoh lebih panjang pada awalnya direkodkan sebagai jualan berpotensi sehingga ia direalisasikan.

“Ada kalanya, nilai jualan yang akhirnya dicapai melebihi potensi jualan yang direkodkan manakala dalam kes lain nilainya mungkin lebih rendah. Kami mahu memantau hasil tersebut dan mengenal pasti masalah yang timbul supaya PMKS yang mengharapkan hasil menerusi MIHAS dapat menerima sokongan yang diperlukan daripada MATRADE,” kata beliau.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement