KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan sentimen positif yang berterusan terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu didorong oleh data senarai gaji bukan ladang AS yang melangkaui jangkaan.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.7500/7555 berbanding dolar AS daripada 4.7460/7490 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, senarai gaji bukan ladang AS mencapai 303,000 pada Mac berbanding 200,000 berdasarkan jangkaan pasaran.

"Ini ternyata mengukuhkan Rizab Persekutuan AS untuk menangguhkan keputusan menurunkan kadar mereka yang akan meningkatkan pandangan dolar AS dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ringgit dijangka kekal rendah hari ini pada RM4.74-RM4.75 berikutan minggu dagangan yang singkat disebabkan cuti umum yang boleh menyumbang kepada aktiviti pasaran yang kurang menggalakkan yang akan mendorong ringgit diniagakan dalam jajaran kecil.

Menurut Biro Statistik Buruh Jabatan Buruh AS pada Jumaat, senarai gaji bukan ladang meningkat sebanyak 303,000 pekerjaan pada bulan lepas, mengatasi unjuran ahli ekonomi sebanyak 200,000 pekerjaan, dengan anggaran daripada 150,000 hingga 250,000.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding euro kepada 5.1433/1493 daripada 5.1437/1470 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding pound kepada 5.9931/6.0000 daripada 5.9956/9994, menambah berbanding yen Jepun kepada 3.1310/1348 daripada 3.1341/1363 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9400/9602 daripada 12.9495/12.9641 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/300.2 daripada 299.4/299.8 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5190/5234 daripada 3.5208/5233 sebelum ini, bagaimanapun tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 sejak Jumaat lepas. - BERNAMA