KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Khamis apabila mata wang negara maju itu terus mengekalkan momentum peningkatannya, dipacu oleh data ekonomi terkini yang memberangsangkan, kata ahli ekonomi.

Pada 9.05 pagi, nilai ringgit susut kepada 4.6825/6875 berbanding dolar AS daripada paras 4.6735/6805 pada akhir urus niaga semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pengukuhan dolar AS ternyata ketara selepas pengumuman data tuntutan awal pengangguran AS yang lebih rendah daripada dijangkakan, sekali gus menggambarkan keadaan ekonominya yang berdaya tahan.

"Petunjuk itu mengukur jumlah orang yang memohon insurans pengangguran pada minggu lepas. Pada masa sama, data itu membantu pelabur mendapatkan petunjuk mengenai keadaan pasaran pekerjaan di AS.

"Sebarang bacaan atau angka rendah daripada jangkaan menandakan pengangguran itu terkawal dan hanya menyuntik sokongan terhadap dolar AS," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi Indeks Dolar AS terus meningkat, sekali gus membayangkan prospek dolar AS lemah adalah tipis walaupun terdapat jangkaan kadar faedah lebih rendah.

"Berikutan itu, ringgit dijangka mendatar namun kekal menghampiri paras sokongan segera pada RM4.6611 berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Pada dagangan awal, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding euro pada 5.0988/1042 daripada 5.0946/1022 pada Rabu, rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1363/1399 daripada 3.1338/1387 namun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8484/8547 daripada 5.8550/8637.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain, termasuk tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 300.5/301.1 daripada 300.0/300.6, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4892/4934 daripada 3.4838/4893.

Unit tempatan itu susut berbanding baht Thailand kepada 13.2837/3043 daripada 13.2702/2957 semalam dan turun berbanding peso Filipina pada 8.43/8.45 daripada 8.42/8.44 sebelum ini.

-- BERNAMA