KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar AS hari ini selepas kenaikan hampir seminggu.

Pada 9.01 pagi, ringgit merosot kepada 4.6810/6845 berbanding dolar AS daripada 4.6765/6800 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit telah berada dalam kedudukan terlebih beli, menunjukkan kenaikan seterusnya dalam tempoh terdekat dilihat terhad.

Ini walaupun Indeks Dolar AS (DXY) merosot kepada 102.86 mata dan sentimen mengambil risiko masih belum terganggu walaupun Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) lebih tinggi daripada jangkaan pasaran.

Inflasi di AS, seperti yang diukur oleh perubahan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), naik kepada 3.2 peratus pada Februari berbanding unjuran 3.1 peratus.

IHP Teras Tahunan, yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, turut lebih tinggi daripada jangkaan, meningkat 3.8 peratus pada bulan lepas.

Selain itu, katanya peserta pasaran berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan datang pada minggu depan.

"Sehubungan itu, pasangan dolar AS/ringgit akan terus berada pada sekitar 4.67 hingga 4.68," katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding pound kepada 5.9893/5.9938 daripada 5.9808/9853 pada Selasa, merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1770/1796 daripada 3.1718/1744 dan rendah berbanding euro kepada 5.1149/1188 daripada 5.1114/1152 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1054/1204 daripada 13.1436/1601 semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.47.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5145/5174 daripada 3.5133/5162 pada Selasa dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 300.2/300.6 daripada 299.9/300.3 sebelum ini.

-- BERNAMA