BISNES
Ringgit terus catat kenaikan menjelang data IHP AS dikeluarkan

Mohd Afzanizam berkata bacaan pada Julai yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh mendorong Rizab Persekutuan (Fed) AS mempertimbangkan semula untuk menurunkan Kadar Dana Persekutuan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit mengekalkan momentum meningkatnya berbanding dolar AS dan mata wang utama lain dalam peniaga dan pelabur menunggu data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan malam ini.
Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2290/2320, naik 0.08 peratus berbanding dolar AS daripada 4.2320/2360 pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bacaan pada Julai yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh mendorong Rizab Persekutuan (Fed) AS mempertimbangkan semula untuk menurunkan Kadar Dana Persekutuan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September.
Beliau berkata anggaran akhir bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia juga akan dipantau.Indeks Pengeluaran Perindustrian serta Indeks Perkhidmatan dan Kerja Pembinaan Selesai bagi suku kedua menunjukkan angka akhir KDNK mungkin lebih rendah daripada anggaran awal rasmi sebanyak 4.5 peratus.
"Anggaran kami menunjukkan KDNK bagi suku kedua mungkin sebanyak 4.3 peratus. Oleh itu, hala tuju pertumbuhan akan menentukan tahap akomodatif dasar monetari berdasarkan prospek ekonomi global yang lemah," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8490/8512 daripada 2.8657/8686 pada Isnin, naik berbanding euro kepada 4.9090/9125 daripada 4.9269/9316 semalam dan tinggi berbanding pound kepada 5.6905/6946 daripada 5.6933/6987.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2867/2893 daripada 3.2936/2973 semalam dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0135/0300 daripada 13.0569/0769.
Mata wang tempatan turut meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 259.6/259.9 daripada 259.9/260.3 sebelum ini dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.42 daripada 7.42/7.43.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami