KUALA LUMPUR: Ringgit tidak berubah dalam dagangan awal pada Isnin selepas mencatatkan kenaikan selama tiga hari dan dijangka disokong dengan baik oleh jangkaan yang meningkat untuk pengurangan kadar oleh Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun ini.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan kekal pada 4.6815/6845 berbanding dolar AS daripada 4.6815/6855 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka ringgit akan mendapat rangsangan berikutan Rizab Persekutuan AS (Fed) komited untuk melonggarkan dasar monetarinya pada tahun ini selepas data terkini menunjukkan pasaran buruh AS lemah.

Senarai gaji bukan ladang (NFP) AS pada Januari 2024 dan Disember 2023, masing-masing telah disemak semula lebih rendah sebanyak 124,000 dan 43,000.

"Sementara itu, kadar penyertaan tenaga kerja kekal stabil pada 62.5 peratus selama tiga bulan berturut-turut dan kadar pengangguran meningkat kepada 3.9 peratus daripada 3.7 peratus pada tiga bulan berturut-turut sebelumnya.

"Oleh itu, pasaran buruh AS lembap dan Fed dijangka mengurangkan Kadar Dana pada separuh kedua tahun ini," katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Mohd Afzanizam berkata pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai nilai rendah ringgit akan membantu memacu kenaikan ringgit.

Justeru, katanya pasangan MYR/USD akan berada pada RM4.67 hingga RM4.68 hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan rendah berbanding pound kepada 6.0190/0229 daripada 6.0050/0101 pada Jumaat lepas, merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1897/1919 daripada 3.1821/1850 minggu lepas dan susut berbanding euro kepada 5.1225/1258 daripada 5.1188/1231 sebelum ini.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asia lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5178/5203 daripada 3.5160/5192 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2208/2342 daripada 13.2134/2321 minggu lepas.

Ia tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 300.2/300.6 dan berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.44.

-- BERNAMA