KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meningkatkan perbincangan seiring usaha menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ia susulan ringgit pada masa ini terkurang nilai atau (undervalued).

"Memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi.

"BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pada awal dagangan Selasa, ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kekurangan pemangkin.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.7775/7805 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7795 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tidak banyak pemangkin untuk ringgit menokok walaupun petunjuk teknikal memperlihatkan mata wang tempatan itu telah berada dalam zon terlebih jual.