Kerajaan memperuntukkan RM750 juta melalui Program ePenjana dalam usaha menggalakkan penggunaan perkhidmatan pembayaran tanpa sentuh (contactless payment).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna selain akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun daripada syarikat khidmat e-dompet.

"Dalam menjalani kehidupan normal baharu, semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh. Sehubungan itu, inisiatif e-dompet ini akan bermula pada bulan Julai dan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek di sini pada Jumaat.

BACA: Kerajaan perkenal PENJANA, bantu ekonomi negara - PM

Selain itu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan akan menubuhkan Dana PENJANA Nasional berjumlah RM1.2 bilion dengan peruntukan RM600 juta daripada kerajaan dan RM600 daripada pelabur domestik serta antarabangsa.

Katanya, dana itu adalah untuk memacu pemulihan ekonomi negara melalui proses digitalisasi perniagaan negara.

"Dana ini akan digunakan untuk memupuk inovasi dan mengembangkan bakat modal teroka tempatan. Antara pelabur antarabangsa yang berminat untuk turut serta ialah SK Group, Hanwha Asset Management, KB Investment Co Ltd, Provident Growth, 500 Startups dan The Hive," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian atau e-kaunter bagi digitalisasi perkhidmatan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0.

Kata beliau, kerajaan juga akan meneruskan kempen 'Buy Malaysia' bagi menggalakkan rakyat supaya menyokong produk dan perkhidmatan tempatan.

"Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah menggalakkan rangkaian pasar raya besar untuk membuat penandaan produk tempatan dan juga menubuhkan saluran produk Malaysia yang berdedikasi di platform e-dagang," katanya.