BISNES
RMK13 beri sinar baharu dalam pendidikan negara – Anuar Ahmad

Anuar berkata, melalui pelbagai inisiatif strategik yang dirancang, RMK13 dilihat sebagai satu pelan holistik. - FB Anuar Ahmad
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi harapan baharu terhadap usaha menyamaratakan peluang pendidikan dan memperkukuh infrastruktur pendidikan di seluruh negara, khususnya bagi menangani ketidaksamaan akses pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar yang telah lama wujud.
Ringkasan AI
- RMK13 beri tumpuan menyeluruh kepada pendidikan termasuk pembinaan sekolah baharu, pembaikan sekolah daif dan pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak secara lebih inklusif, khususnya di luar bandar, Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman.
- Sasaran lima tahun Malaysia lebih berdaya saing, antaranya menaikkan kedudukan dalam Indeks Daya Saing Global ke tangga 12 dan Indeks Pembangunan Manusia ke tangga 25, dengan pendidikan sebagai tunjang utama.
- RM67 bilion diperuntukkan bagi sektor pendidikan, dengan keutamaan pada prasekolah wajib umur lima tahun, sekolah vertikal untuk kurangkan kepadatan pelajar, serta syarat pembinaan sekolah untuk projek perumahan besar.
“Ini adalah satu usaha yang sangat penting kerana selama ini kita berdepan cabaran besar dari segi kepelbagaian penyediaan pendidikan antara wilayah dan negeri. Ada kawasan yang jauh tertinggal, dan ini menjejaskan kualiti serta akses pendidikan bagi pelajar di kawasan tersebut.
“Inilah peluang untuk kita menyamaratakan akses pendidikan antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar, termasuk di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman Semenanjung. Peruntukan ini juga memperlihatkan keprihatinan terhadap institusi pendidikan awal seperti KEMAS yang memainkan peranan penting dalam membina asas pendidikan kanak-kanak,” jelasnya.
Tambahannya, sasaran RMK13 dalam tempoh lima tahun akan datang juga untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih berdaya saing dan berdaya maju.
“Sebagai contoh, sasaran kita adalah untuk meningkatkan kedudukan dalam Indeks Daya Saing Global kepada kelompok 12 terbaik dunia, berbanding kedudukan ke-34 sekarang. Dalam Indeks Pembangunan Manusia pula, kita menyasarkan tempat ke-25 berbanding kedudukan semasa iaitu 63. Kesemua ini hanya boleh dicapai melalui pembangunan pendidikan,” katanya.
Malah, beliau turut menyambut baik pengumuman bahawa pendidikan prasekolah akan dimulakan pada umur lima tahun dan diwajibkan secara berperingkat.
“Ini adalah langkah sangat baik dalam pembangunan sumber manusia negara. Di negara maju, pendekatan ini sudah lama diamalkan bagi membolehkan kanak-kanak berada dalam alam pembelajaran lebih awal dan kaedah pembelajaran yang digunakan bukan dalam bentuk formal, tetapi dalam suasana bermain sambil belajar.
"Masalah utama yang sering dibangkitkan sejak 1970-an adalah keciciran dalam kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Dengan pendedahan awal melalui prasekolah, kanak-kanak dapat menyesuaikan diri lebih baik sebelum memasuki alam persekolahan rasmi terutamanya ketika tempoh tumbesaran yang sangat penting ini,” katanya.
Pada 31 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM67 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pendidikan pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) antaranya untuk membina sekolah baharu, membaiki dan menaik taraf bangunan sekolah, tadika KEMAS, fasiliti dan kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.
Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar baharu manakala pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami