MELAKA: Kerajaan Persekutuan merancang melaksanakan 264 program dan projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.83 bilion di Melaka di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Melaka Mohd Shahrul Shari memaklumkan RMK13 yang mendukung aspirasi 'Melakar Semula Pembangunan' adalah komitmen kerajaan Persekutuan untuk menstruktur semula pembangunan sosioekonomi.
Advertisement
"Langkah ini bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh tatakelola yang baik ke arah merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI, di samping mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
"Fokus program dan projek di bawah RMK13 pada kali ini merangkumi rancangan tebatan banjir, pembangunan pendidikan, pertanian, kemudahan kesihatan, infrastruktur jalan raya, perumahan rakyat dan lain-lain," katanya kepada Bernama.
Mohd Shahrul berkata terdapat 103 program dan projek dalam RMK13 yang berstatus dalam pelaksanaan, melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM4.67 bilion dan dijangka siap dalam tempoh 2026 hingga 2030.
Beliau berkata ia terdiri daripada pelbagai skop seperti rancangan tebatan banjir, pendidikan, kesihatan, kemudahan jalan, perumahan rakyat dan infrastruktur di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melibatkan peruntukan sebanyak RM628.97 juta bagi 2026.
"Secara prinsipnya, program dan projek RMK13 yang dirancang di Melaka berorientasikan kesejahteraan rakyat. Pelaksanaannya dijangka memberikan impak langsung kepada komuniti setempat di kawasan program dan projek, serta impak tidak langsung kepada rakyat negeri Melaka yang secara keseluruhannya sebanyak 1.05 juta orang.
"Ia melibatkan peningkatan kemudahan infrastruktur, seperti jalan raya serta rancangan tebatan banjir, kemudahan akses perkhidmatan seperti fasiliti kesihatan, bekalan air dan pendidikan serta kemudahan untuk pembangunan ekonomi seperti pembangunan pertanian dan pengangkutan," katanya.
Beliau berkata perancangan semua program dan projek pembangunan yang telah diluluskan di Melaka di bawah peruntukan pembangunan Persekutuan akan diteruskan dengan menumpukan kepada strategi penjajaran perbelanjaan berikutan konflik di Asia Barat ketika ini.
-- BERNAMA