Skip to main content

Malaysia

Kerajaan cadang perluas perlindungan PERKESO pekerja rentas sempadan - PM Anwar

Foto Shahir
Kerajaan, kata Perdana Menteri, akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk memperluas skop perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada warga Malaysia yang bekerja di luar negara, khususnya melibatkan pekerja rentas sempadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut akan dimulakan dengan menyasarkan warga Malaysia yang berulang-alik bekerja ke Singapura setiap hari.

Advertisement

“Secara purata, satu nyawa rakyat kita hilang setiap minggu atau sekitar 54 kematian setahun direkodkan dalam kalangan pekerja rentas sempadan ini. Kita tidak boleh biarkan perkara ini tanpa pembelaan.

“Justeru, kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, di sini, pada Jumaat.

Anwar menjelaskan, langkah proaktif tersebut bakal memberi manfaat besar kepada kira-kira 480,000 warga tempatan yang selama ini bekerja tanpa sebarang jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

“Ramai dalam kalangan mereka bekerja tanpa perlindungan. Dengan pindaan ini, kita mahu memastikan tiada lagi rakyat kita yang terkecuali daripada mendapat hak perlindungan kebajikan walaupun mereka mencari rezeki di luar negara,” tambah beliau.

Menyentuh mengenai pasaran buruh negara, Perdana Menteri memaklumkan, kadar pengangguran kini berada pada paras terendah dalam tempoh 10 tahun, iaitu sekitar 3.2 peratus.

Menurut beliau, pencapaian tersebut harus disusuli dengan usaha meningkatkan kemahiran pekerja melalui program upskilling (peningkatan kemahiran) dan reskilling (latihan semula) yang lebih agresif.

“Kita juga melihat kejayaan luar biasa dalam pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Malaysia kini muncul antara negara membangun yang paling berjaya mentransformasikan sistem pendidikan dengan memberikan penekanan khusus kepada TVET,” katanya.

Must Watch Video