SHAH ALAM: Baki sasaran pelaksanaan daripada fasa terdahulu akan diserap dan diteruskan di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi menjamin kelangsungan projek pemangkin ekonomi berimpak tinggi di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, baki tersebut membabitkan projek mega serantau yang baru bermula termasuk Selangor Maritime Gateway (SMG), Kawasan Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), serta Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).
Menurut beliau, inisiatif berskala besar itu memerlukan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang selain penyelarasan menyeluruh merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.
"Baki satu peratus itu akan dibawa dalam perjalanan RS-2 sebab ia melibatkan SMG, SABDA, IDRISS dan sebagainya baharu bermula, jadi kita bawa ke depan untuk kita laksanakan," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Rancangan Selangor Kedua (RS-2), di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri turut menyemak semula beberapa petunjuk prestasi persekitaran, khususnya berkaitan kualiti udara, memandangkan faktor seperti jerebu rentas sempadan berada di luar kawalan tempatan berbanding isu pembakaran terbuka setempat.
Untuk rekod RS-2 merupakan pelan pembangunan strategik lima tahun bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang dirangka sebagai kesinambungan kepada kejayaan RS-1.
Pelan tersebut menyasarkan penjanaan nilai ekonomi negeri mencecah sehingga RM600 bilion menjelang tahun 2030, dengan tumpuan utama diberikan kepada sektor berimpak tinggi seperti Elektrik dan Elektronik (E&E), Aeroangkasa, Automotif, serta Ekonomi Digital dan Kreatif.
Pelaksanaan RS-2 digerakkan menerusi enam misi strategik utama yang merangkumi pemacuan kepimpinan ekonomi, pembangunan seimbang dan saksama merentasi daerah, pembentukan negeri penyayang dan berdaya huni, pemerkasaan modal insan inklusif, kelestarian dan daya tahan negeri, serta tadbir urus kerajaan yang efektif dan mesra rakyat.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, RS-2 merampingkan fokus kepada 98 projek berimpak tinggi yang dinilai benar-benar mampu dilaksanakan (doable).
Pelan itu turut menyepadukan perancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor swasta secara terus, memperkenalkan Indeks Wajar untuk bantuan bersasar mengikut daerah, menyasarkan 200,000 unit rumah mampu milik, serta memperkukuh kerangka pemantauan berkala dan kerjasama pembiayaan institusi kewangan.