Skip to main content

Dunia

Pekerja, pelajar Itali protes peningkatan kos sara hidup

Pelajar membawa sepanduk bertulis “Mari tumbangkan kerajaan Meloni” ketika menyertai perarakan mogok umum yang dianjurkan kesatuan sekerja CGIL bagi membantah peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan ketenteraan di Milan, Itali. - Foto REUTERS
Pelajar membawa sepanduk bertulis “Mari tumbangkan kerajaan Meloni” ketika menyertai perarakan mogok umum yang dianjurkan kesatuan sekerja CGIL bagi membantah peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan ketenteraan di Milan, Itali. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Kesatuan sekerja Itali melancarkan mogok seluruh negara membantah dasar belanjawan kerajaan Meloni dan peningkatan kos sara hidup.
  • Mogok sehari anjuran CGIL melibatkan sektor awam dan swasta, menjejaskan sekolah, perkhidmatan kesihatan serta pengangkutan awam di beberapa bandar utama.
  • Tuntutan utama termasuk kenaikan gaji, pelaburan wilayah selatan, penambahbaikan keselamatan kerja, serta pengurangan perbelanjaan pertahanan.
Advertisement

ROM: Kesatuan sekerja di Itali melancarkan mogok di seluruh negara pada Jumaat bagi membantah kerajaan berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni serta dasar belanjawannya, susulan peningkatan kos sara hidup, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Gabungan kesatuan sekerja CGIL menggesa pekerja sektor awam dan swasta mengadakan mogok selama sehari.

Menurut pemimpin kesatuan sekerja, Maurizio Landini, dianggarkan sejuta orang menyertai kira-kira 100 demonstrasi dan perhimpunan di seluruh negara manakala kumpulan pelajar turut mengadakan bantahan secara berasingan.

Advertisement

Bagaimanapun, tiada anggaran rasmi mengenai jumlah peserta yang menyertai mogok, dikeluarkan.

Sekolah, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam merupakan antara sektor yang terjejas. 

Advertisement

Di Rom, Florence dan Genoa, penumpang berdepan gangguan perkhidmatan bas, trem dan metro.

Protes anjuran CGIL itu terutamanya tertumpu kepada peningkatan kos sara hidup dan rancangan belanjawan kerajaan Meloni.

Antara tuntutan utama termasuk kenaikan gaji, peningkatan pelaburan dalam sektor perindustrian dan wilayah selatan yang lebih lemah dari segi ekonomi, serta penambahbaikan keselamatan di tempat kerja.

Kesatuan itu turut menggesa kerajaan mengurangkan perbelanjaan pertahanan dan meningkatkan peruntukan bagi sektor pendidikan serta penjagaan kesihatan.

"Hari ini membuktikan bahawa rakyat mahu suara mereka didengari, mahu diberi peluang untuk bersuara dan menuntut jawapan terhadap keperluan mereka," kata Setiausaha Agung CGIL Landini, menjelang perhimpunan utama di Rom.

Ahli politik daripada parti pembangkang berhaluan kiri turut menyertai beberapa demonstrasi berkenaan.

Pekerja dan pelajar mula berhimpun di jalanan di beberapa bandar di Itali sejak pagi, apabila mogok di seluruh negara itu berlangsung serentak dengan hari tindakan bantahan oleh kumpulan pelajar.

Dalam satu daripada demonstrasi di Rom, sepanduk yang menggesa penamatan konflik dan perlumbaan senjata dipamerkan manakala bendera Palestin turut kelihatan.

Di Milan, penunjuk perasaan membakar replika lori tangki yang diperbuat daripada kadbod serta patung replika Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Di Bologna, beberapa penunjuk perasaan dilaporkan bertempur dengan polis, menurut agensi berita ANSA.

-- BERNAMA-DPA

 

 

Must Watch Video

Advertisement