Skip to main content

Dunia

UK, EU bincang hubungan lebih rapat selepas capai perjanjian baharu

Burnham (tengah), Von der Leyen (kiri) dan Costa berganding tangan pada akhir sidang media sempena Sidang Kemuncak EU-UK di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS
Burnham (tengah), Von der Leyen (kiri) dan Costa berganding tangan pada akhir sidang media sempena Sidang Kemuncak EU-UK di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • United Kingdom dan Kesatuan Eropah memeterai perjanjian baharu melibatkan perdagangan makanan, kerjasama iklim dan mobiliti belia untuk memperkukuh hubungan pasca-Brexit.
  • Perjanjian ini dijangka memberi manfaat ekonomi sehingga £17 bilion setahun kepada UK serta mengurangkan kos perniagaan dan menstabilkan harga pengguna.
  • Skim pengalaman belia membenarkan sehingga 100,000 belia dari kedua-dua pihak tinggal, bekerja dan belajar di negara masing-masing selama maksimum tiga tahun.
Advertisement

LONDON: United Kingdom (UK) dijangka meneroka kemungkinan menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU) selepas kedua-dua pihak memeterai beberapa perjanjian baharu melibatkan perdagangan makanan, kerjasama iklim dan mobiliti belia.

Menurut laporan BBC, Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, berkata perjanjian itu merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh semula hubungan pasca-Brexit antara London dan Brussels.

Burnham menyifatkan perjanjian tersebut sebagai perkembangan positif yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dengan kerajaan Britain menganggarkan ia mampu menambah sehingga £17 bilion setahun kepada ekonomi negara.

Advertisement

Antara persetujuan yang dicapai termasuk pengurangan sebahagian besar pemeriksaan terhadap eksport makanan Britain ke EU mulai 2028, dengan UK bersetuju mematuhi beberapa peraturan blok berkenaan.

Kerajaan Britain percaya langkah itu akan mengurangkan kos perniagaan serta membantu menstabilkan harga pengguna, namun pengkritik mendakwa ia menyebabkan London perlu mengikut peraturan yang ditetapkan Brussels tanpa mempunyai kuasa dalam proses penggubalannya.

Advertisement

Kedua-dua pihak turut bersetuju melaksanakan skim pengalaman belia yang membolehkan sehingga 100,000 rakyat berusia antara 18 hingga 31 tahun dari EU tinggal, bekerja dan belajar di UK selama maksimum tiga tahun, dengan jumlah sama diberikan peluang di negara-negara Eropah kepada belia Britain.

Selain itu, UK dan EU berikrar memperkukuh kerjasama dalam memerangi penyeludupan migran serta pemerdagangan manusia, termasuk meningkatkan perkongsian data antara agensi penguatkuasaan.

Presiden Majlis Eropah, António Costa, berkata EU kekal terbuka untuk membina hubungan yang paling rapat mungkin dengan UK, manakala Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menyifatkan perjanjian itu sebagai satu titik perubahan dalam hubungan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut menerima kritikan daripada pembangkang Britain. Ketua Parti Konservatif, Kemi Badenoch, mendakwa ia tidak memihak kepada UK, manakala pemimpin Reform UK, Nigel Farage, menyifatkannya sebagai pengkhianatan terhadap rakyat Britain.

BBC melaporkan kerajaan Britain dijangka membentangkan rang undang-undang bagi melaksanakan perjanjian berkenaan di Parlimen minggu depan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement