KUALA LUMPUR: Perniagaan mobiliti mikro elektrik Yinson GreenTech (YGT), rydeEV, melancarkan produk baharunya, CERVO pada Malaysia Autoshow 2024 di Serdang, semalam.

Unit Yinson Holdings Bhd itu berkata CERVO, motosikal elektrik (e-motosikal) yang boleh dicas semula pertama dalam barisan produk rydeEV itu dikilangkan di Indonesia dengan reka bentuk Eropah.

"CERVO akan memberikan pengguna Malaysia pilihan gaya hidup mewah baharu yang menampilkan kelajuan tertinggi sehingga 100 kilometer (km) sejam dan jarak yang lebih jauh 110 km," kata YGT dalam satu kenyataan hari ini.

E-motosikal itu akan tersedia mulai suku ketiga 2024 melalui pembelian penuh atau program pembiayaan secara pajakan.

Selain itu, katanya, pelanggan akan dapat menikmati rebat RM2,400 yang ditawarkan oleh kerajaan di bawah Skim Promosi Penggunaan Motosikal Elektrik semasa.

YGT berkata walaupun motosikal di Malaysia terjual sebanyak 660,000 unit pada 2023, varian elektrik menyumbang kurang daripada tiga peratus daripada jumlah jualan.

Foto rydeEV

Untuk menyokong elektrifikasi dalam segmen mobiliti mikro, rydeEV menyediakan produk dan perkhidmatan yang disesuaikan untuk memenuhi permintaan pengguna dan keperluan perniagaan yang berbeza, katanya.

Pengarah Urusan RydeEV Syed Ahmad Faiz Syed Yusoff Fadzil berkata penambahan CERVO kepada barisan rydeEV menggariskan komitmennya untuk merevolusikan mobiliti bandar dengan membawa teknologi terkini dan model motosikal elektrik paling menarik ke Malaysia.

"E-motosikal ini mempunyai ciri yang digabungkan dengan rangkaian sedia ada rydeEV dan pendekatan berpaksikan pengguna, juga memberi pilihan yang mampan kepada penunggang tanpa menjejaskan prestasi atau kemudahan," katanya.

-- BERNAMA