Ringkasan AI
- Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) dilancarkan dengan fungsi menghantar notifikasi amaran tanpa mengakses data peribadi pengguna.
- MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System, tidak memerlukan aplikasi atau pendaftaran, dan tidak melibatkan sebarang kos kepada penerima.
- Ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak seluruh negara dijadualkan pada 29 November, dengan fokus awal kepada bencana seperti banjir dan tanah runtuh.
KUALA LUMPUR: Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilancarkan hari ini hanya akan berfungsi menghantar notifikasi kepada pengguna, tanpa mempunyai sebarang akses kepada data peribadi pemilik peranti.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sistem dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu, menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyalurkan amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi ditetapkan, tanpa memerlukan pemasangan aplikasi atau pendaftaran.
“MySiren ini berbeza dengan kaedah SMS (sistem pesanan ringkas), di mana pesanan dihantar kepada nombor penerima, sistem yang digunakan ini tidak mendapatkan apa-apa maklumat mahupun data daripada peranti pengguna.
“Ia juga tidak melibatkan sebarang kos kepada penerima pesanan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan MySiren, di bangunan Parlimen di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fatih Din.
Fahmi berkata ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara, dijadual akan dilakukan pada 10.10 pagi 29 Nov ini.
Mengulas lanjut mengenai MySiren, Fahmi berkata sistem berkenaan berkeupayaan menyampaikan maklumat atau amaran jauh lebih pantas dan serentak kepada semua peranti, berbanding menggunakan kaedah penghantaran SMS.
“Kalau SMS, dia akan melalui queue daripada telco. Ini dia bypass telco, terus kepada apa disebut... sebagai alat pemancar, semua menara telekomunikasi boleh bertindak sebagai pemancar bagi mesej amaran bencana.
“Jadi semua pengguna yang berada dalam satu lingkungan menara ataupun pemancar yang aktif, semua peranti itu akan mendapat maklumat yang sama pada waktu yang sama,” katanya.
Fahmi berkata MCMC kekal sebagai agensi yang mengendalikan sistem MySiren, dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), juga boleh mengakses sistem berkenaan.
“Pada waktu ini fokus ialah (notifikasi) bagi keadaan banjir, tanah runtuh dan bencana alam tapi akan diperluas kepada beberapa maklumat lain termasuk kebakaran, kehilangan individu ataupun kanak-kanak dan perkara-perkara berkaitan PBT yang mempunyai sifat bencana,” katanya.
Fahmi berkata MySiren mula dibangunkan pada 2025, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan kos keseluruhan berjumlah RM200 juta.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan simulasi sistem turut dilaksanakan di pekarangan Bangunan Parlimen hari ini, bagi menguji keupayaan sistem itu menyalurkan mesej berserta bunyi amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu bagi ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara pada 29 Nov ini, orang ramai disarankan supaya mengemas kini telefon mudah alih masing-masing kepada versi sistem operasi terkini atau minimum iOS 27.2 bagi iPhone, Android 12 bagi telefon Android dan EMUI 16 bagi telefon Huawei.
“Pengguna juga perlu memastikan tetapan amaran kecemasan, seperti Government Alerts atau Wireless Emergency Alerts (WEA), diaktifkan pada peranti masing-masing.
“Penerimaan amaran adalah tertakluk pada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem itu bersedia untuk beroperasi sebelum diperluas pelaksanaannya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai MySiren melalui www.mcmc.gov.my/mysiren serta saluran media sosial rasmi MCMC.
-- BERNAMA