Skip to main content

Bisnes

Sabin Samitah, Farahana Rabidin dilantik Anggota Lembaga LHDN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASIL) melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Dr Sabin Samitah sebagai ahli lembaga pengarah berkuat kuasa 1 September 2026.
Menurut LHDN, pelantikan Sabin bagi mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan Farahana mewakili Jabatan Peguam Negara. - Foto DagangNews
Advertisement

PUTRAJAYA: Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Penggubal Undang-Undang Parlimen Farahana Rabidin dilantik sebagai Anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkuat kuasa Selasa lepas. 

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar juga dilantik semula anggota lembaga itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos hingga 31 Julai 2028.

“Pelantikan Sabin bagi mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan Farahana mewakili Jabatan Peguam Negara,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan Sabin pernah menerajui LHDN sebagai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri sebelum berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan seterusnya sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu.

“Pengalaman luas beliau dalam percukaian, pencegahan jenayah kewangan dan pentadbiran awam melengkapkan peranan beliau dalam memperkukuh hala tuju dan tadbir urus LHDN,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan pengalaman dan kepakaran luas Farahana dalam bidang perundangan dapat menyumbang kepada pengukuhan tadbir urus dan pertimbangan berkaitan dasar serta undang-undang dalam pelaksanaan tanggungjawab lembaga itu.

“LHDN berharap pengalaman dan kepakaran yang dibawa dapat memperkukuh tadbir urus dan menyokong usaha berterusan LHDN dalam memperkasakan pentadbiran hasil negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement