Saham konglomerat PPB Group Bhd susut pada sesi pagi ini susulan berita ia merancang untuk menjual cabang perniagaan panggung wayangnya, Golden Screen Cinemas (GSC) Sdn Bhd.

Harga saham kumpulan itu merosot empat sen kepada RM16.16, dengan 284,200 diniagakan.

Dilaporkan Robert Kuok, yang mengawal 50.8 peratus daripada PPB Group melalui syarikat pegangannya, Kuok Brothers Sdn Bhd, mencari potensi pembeli bagi perniagaan panggung wayangnya.

Beliau dijangka meraih sehingga US$500 juta melalui urus niaga itu dan telah menerima bidaan pusingan pertama.

Bahagian pengedaran dan tayangan filem PPB Group itu menjana keuntungan sebanyak RM65.6 juta (US$16 juta) pada tahun lepas, menjadikannya penyumbang utama kedua selepas segmen perniagaan tani dan bijirin.

PPB Leisure Holdings Sdn Bhd, cabang riadah dan hiburan PPB Group, memiliki keseluruhan kepentingan ekuiti dalam GSC.

GSC Group mengendalikan sebanyak 345 panggung wayang digital di 40 lokasi di Malaysia dan Vietnam.

Ia bekerjasama dengan Galaxy Studio yang mempunyai 39 skrin di tujuh lokasi di Vietnam. - BERNAMA