KUALA LUMPUR: Saiz dana terkumpul Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebenar mencecah RM190.3 bilion sehingga 31 Dis, 2023, jika diselaraskan dengan pengeluaran terkumpul sejumlah RM20.5 bilion untuk membiayai sebahagian daripada tanggungan pencen tahunan kerajaan sejak 2018.

Kementerian Kewangan berkata dana terkumpul KWAP yang belum diaudit setakat 31 Dis, 2023, berjumlah RM169.8 bilion, dengan pertumbuhan sebanyak 305 peratus atau kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 9.0 peratus sejak penubuhannya pada 1 Mac 2007.

Menurutnya, sebagai pelabur institusi jangka panjang objektif pelaburan KWAP adalah untuk memperoleh jumlah pulangan pelaburan maksimum secara mampan melalui strategi pelaburan dinamik, selaras dengan risiko pelaburan dana.

"Dalam hubungan ini, KWAP tidak diberi mandat, secara langsung, untuk mengurangkan implikasi fiskal terhadap saraan pencen penjawat awam.

"Bagaimanapun, dana terkumpul KWAP boleh digunakan untuk tujuan membiayai tanggungan kerajaan untuk kos persaraan pencen tahunan penjawat awam, menerusi mekanisme pengeluaran dana seperti tertakluk dalam peruntukan subseksyen 13(5), Akta 662," kata kementerian itu menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Rabu.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan mengenai adakah prestasi KWAP tidak berupaya mengurangkan implikasi fiskal terhadap saraan pencen penjawat awam.

"Pertumbuhan dana terkumpul KWAP, secara dasarnya, boleh dikaitkan dengan pulangan pelaburan yang konsisten yang mana dana telah menjana pulangan purata pulangan tahunan sebanyak 6.3 peratus sejak penubuhannya.

"Pencapaian ini adalah bersandarkan pada strategi pelaburan dinamik, yang diteraju melalui peruntukan aset strategik atau (SAA)," kata kementerian berkenaan.

Selain itu Mohd Shahar juga bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai perancangan supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berubah dalam penekanan daripada manfaat berasaskan persaraan kepada skim perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

Menjawab persoalan itu, Kementerian Kewangan berkata buat masa ini, KWSP akan terus memberi keutamaan dalam melaksanakan mandatnya untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia di hari tua bagi memastikan kerangka perlindungan sosial di Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA