Samsung Malaysia Electronics bakal memberikan pilihan kepada pengguna yang memilik Galaxy Note7 sama ada menerima pemulangan wang atau menggantikan dengan model S7 edge.

Dalam satu kenyataan hari ini, Samsung turut menggesa pengguna sedia ada untuk tidak menggunakan telefon pintar berkenaan.

"Pilihan pemulangan wang atau penggantian model kepada S7 edge akan diberikan kepada pemilik sekiranya mereka memulangkan model Note7," katanya dalam satu kenyataan.

Mereka yang membuat tempahan awal akan dihubungi bermula 13 Oktober 2016 termasuk dari penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih atau rakan pengedar lain berkaitan proses pemulangan wang atau penukaran model.

Samsung Malaysia berkata keselamatan pengguna adalah keutamaannya dan pengguna boleh menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-7799 bagi mendapatkan maklumat lanjut sebelum proses penukaran dilakukan.

Samsung pada Selasa mengumumkan penghentian serta merta pengeluaran Note7 selepas laporan kebakaran bateri terbaru dalam model yang ditambah baik.

Ia turut mengarahkan pengedar seluruh dunia menghentikan penjualan dan menasihatkan pengguna berhenti menggunakan model tersebut.

Samsung pada September memanggil kembali semua model Note7 selepas berpuluh laporan kebakaran bateri dilaporkan seluruh dunia ketika telefon dicas.

Ia kemudian melancarkan kembali versi terbaru Note7 di Korea Selatan, namun laporan kebakaran bateri pada model terbaru masih wujud, memaksa gergasi teknologi itu menghentikan sepenuhnya pengeluaran dan penjualan model berkenaan.

Note7 merupakan model kelas teratas telefon pintar Samsung yang sepatutnya bersaing dengan model dari gergasi teknologi Apple Inc., iPhone 7 dan iPhone 7 Plus.