KUCHING: Sarawak tidak berhasrat untuk merampas hak PETRONAS sebaliknya menganggap syarikat itu sebagai rakan kongsi dalam industri minyak dan gas (O&G) negara, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, segala usaha yang dilaksanakan Sarawak dalam industri O&G terutama menerusi Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) adalah berlandaskan hak dan undang-undang sedia ada.

"Kami tidak mengambil hak orang. Kami menguruskan (perniagaan kami) berdasarkan hak kami. Kami bekerja secara harmoni.

"Kami bekerjasama berdasarkan undang-undang kami, dalam parameter hak undang-undang kami. Saya mahu jelaskan perkara ini kerana banyak di media sosial menuduh Sarawak merampas hak Petronas," katanya semasa berucap pada majlis penghargaan vendor industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di sini pada Isnin.

PETROS dan PETRONAS macam adik beradik - Abang Jo

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Datuk Bacho Pilong, berkata PETRONAS komited menjadi rakan strategik Sarawak untuk bersama-sama memacu pertumbuhan dan kelestarian sektor OGSE di Sarawak.

"Sejak 2020, kami telah menyaksikan trend meningkat bagi projek yang diberikan kepada vendor Sarawak, dan kami optimis untuk mencapai sasaran kami pada 2024.

"Sehingga Februari tahun ini, jumlah nilai projek yang diberikan kepada vendor Sarawak sebanyak RM37.41 bilion, dengan RM22.62 bilion diberikan dalam negeri itu sendiri," katanya.

- BERNAMA