KUALA LUMPUR: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) berkata saham syarikat itu akan kembali diniagakan di Bursa Malaysia Securities pada 19 Januari, selepas ia mengemukakan Laporan Tahunan 2021 kepada bursa itu hari ini.

Saham syarikat itu telah digantung pada 9 Nov, 2021 disebabkan kegagalannya menyerahkan laporan tahunan.

Laporan tahunan itu termasuk audit penyata kewangan (AFS) bersama-sama dengan laporan lembaga pengarah untuk 18 bulan terkumpul untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun, 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata kumpulan itu kini akan menumpukan kepada penciptaan nilai dan mengoptimumkan prestasi untuk beberapa tahun akan datang kerana ia boleh memberi tumpuan penuh kepada pengembangannya ke Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Walaupun SCIB menghadapi masalah, syarikat itu tidak berputus asa kerana mempunyai projek lain yang sedang berjalan mengikut jadual dan ia juga mengambil inisiatif untuk mencari peluang di Malaysia dan di negara jiran.

"Kami telah mengenal pasti prospek berpotensi di peringkat domestik dan serantau dan kami berhasrat untuk memanfaatkan sepenuhnya pasaran baharu muncul dengan menyusun semula kedudukan geografi kami," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengenai pertumbuhan perniagaan, beliau berkata syarikat itu kini mensasarkan konsesi projek kerja-kerja penyelenggaraan jalan di seluruh Malaysia, projek pembangunan perumahan termasuk PR1MA dan Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) serta projek loji rawatan air.

"Kami masih optimistik mengenai prospek semasa dan masa depan SCIB kerana kumpulan itu berhasrat untuk menjadi salah satu pemain utama dalam pasaran global.

"Selain itu, kami berharap dapat memupuk semula keyakinan pemegang saham terhadap syarikat kerana kami percaya bahawa SCIB bersedia untuk merebut sebarang peluang perniagaan yang akan muncul tahun ini, menambah baik nilai perolehan kontrak SCIB berjumlah RM1.2 bilion sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, Rosland berkata syarikat itu mengambil inisiatif untuk meneroka teknologi dan inovasi terkini yang membuka banyak peluang dalam industri pembinaan.

"Pemerolehan kami untuk inovasi teknologi termasuk pelaburan dalam pencetak 3D pertama di Sabah dan Sarawak yang disasarkan untuk meningkatkan kecekapan proses pembinaan dengan kos yang lebih rendah dan lebih menjimatkan masa.

"Selain itu, SCIB juga telah memperoleh peranti kecerdasan buatan (AI) inovatif AI Pothole Detection System (AIPODS) yang menggalakkan proses pengesanan yang lancar bagi mengesan kerosakan jalan bersama kawasan konsesi kami untuk projek kerja-kerja penyelenggaraan jalan," katanya dalam Laporan Tahunan 2021 syarikat tersebut.

-- BERNAMA