KUALA LUMPUR: Scomi Group Bhd (SGB) memperluaskan portfolio perkhidmatan untuk industri rel melalui perjanjian usaha sama (JV) yang ditandatangani dengan pakar dalam landasan kereta api dan infrastruktur rel serta kontraktor penyelenggaraan, RC Asia Engineering Sdn Bhd (RCA).

Dalam kenyataan semalam, SGB berkata RCA mempunyai pengalaman selama lebih 25 tahun dalam menyediakan perkhidmatan untuk rel konvensional serta projek transit bandar di Malaysia dalam bidang kerja-kerja landasan, kabel dan isyarat serta kejuruteraan awam dan struktur.

SGB yakin JV dengan RCA akan mengembangkan portfolio produknya, justeru itu, kumpulan akan berada dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang luas kepada industri.

"Kedua-dua pihak akan dapat menggunakan kemahiran, kepakaran, pengalaman dan keupayaan masing-masing untuk membida tender bagi pembinaan stesen kereta api, kerja-kerja landasan, isyarat, pemasangan peralatan dan pengoperasian selain menyediakan perkhidmatan kejuruteraan awam dan struktur.

"JV ini meneruskan strategi SGB dalam mencari pakatan strategik dalam perniagaan yang akan menawarkan potensi pertumbuhan syarikat ke arah keuntungan yang mampan," katanya.

Walaupun menghadapi situasi yang mencabar akibat pandemik global, SGB berkata ia terus memberi tumpuan kepada strateginya untuk meningkatkan syarikat.

"Dengan peningkatan penawarannya, syarikat dalam usaha sebagai rakan kejuruteraan keusahawanan dan teknologi dengan keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan daripada kejuruteraan, reka bentuk, binaan dan pengoperasian kepada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih untuk pelbagai segmen industri pengangkutan rel," katanya.

-- BERNAMA