KUALA LUMPUR: Prospek sektor hartanah Malaysia dijangka kekal lembap berikutan kadar faedah tinggi dan ketidaktentuan pasaran yang telah memberi impak kepada pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kumpulan Paramount Corporation Bhd Jeffrey Chew Sun Teong berkata pemaju tidak memadankan projek kediaman mampu milik dengan harga yang sesuai.

Beliau berkata kenaikan kos buruh dan harga bahan mentah turut menjadi punca kepada kebimbangan dalam kalangan pemaju hartanah apabila merancang pembangunan masa depan.

"Terdapat isu bekalan sementara dan projek yang akan datang di Lembah Klang telah menurun. Kami tidak menjangka pemulihan pasaran yang ketara dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kami berhati-hati mengenai prospek," katanya pada taklimat prestasi syarikat bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 hari ini.

Merujuk laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, Chew berkata unit dalam pembinaan yang tidak terjual di Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kedah telah bertambah baik dari segi jumlah, tetapi pasaran ini masih memerlukan produk pada harga yang sesuai.

Bahagian hartanahnya telah menjual hartanah bernilai RM617 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2023, naik 45 peratus daripada tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau berkata projek dalam perancangan kumpulan termasuklah The Ashwood, hartanah kediaman bertingkat di Kuala Lumpur dengan 312 unit kondominium dan dupleks serta 12 villa bertingkat rendah.

Projek lain termasuklah Greenwoods Amaria, Salak Perdana di Sepang dan kediaman bertanah di Bukit Banyan, Kedah.

-- BERNAMA