Sektor pembinaan catat nilai projek RM143 bilion setakat September - Ahmad

Ahmad menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah CIDB Quest 2025 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan negara terus menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dengan mencatatkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM143 bilion setakat September tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM109.37 bilion melibatkan 8,022 projek sektor swasta manakala RM33.67 bilion lagi merangkumi 4,011 projek kerajaan.
"Industri pembinaan merupakan rakan kongsi penting dan pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Setakat September 2025, kita telah merekodkan lebih 12,000 projek bernilai RM143 bilion di seluruh negara," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah QUEST 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Zainora Zainal dan Pengerusi CIDB Datuk Yusuf Abd Wahab.
Ahmad turut menggesa lebih ramai penggiat industri pembinaan melaksanakan penilaian kualiti, keselamatan dan kemampanan bagi meningkatkan prestasi serta imej industri pembinaan negara.
Beliau berkata Kementerian Kerja Raya melalui CIDB sentiasa membantu pemaju dan pihak berkuasa tempatan memperkukuh standard kualiti serta amalan kelestarian alam sekitar melalui pelbagai latihan dan sesi taklimat.
Mengenai Anugerah QUEST, Ahmad berkata penganugerahan itu berperanan mengiktiraf pemaju, kontraktor, perunding dan agensi kerajaan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembinaan mencapai prestasi terbaik dari segi kualiti hasil kerja, keselamatan tapak bina serta kemampanan alam sekitar.
Katanya pengiktirafan itu juga mencerminkan peningkatan budaya kualiti dalam kalangan penggiat industri sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor pembinaan yang berdaya saing dan mampan.
Sebanyak 262 penerima mewakili 132 projek diiktiraf pada Anugerah QUEST 2025, yang diadakan sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2025.
Anugerah tersebut merangkumi lima rangka kerja penilaian utama di bawah CIDB, iaitu QLASSIC (Quality Assessment System in Construction), SHASSIC (Safety and Health Assessment System in Construction), MYCREST (Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool), Sustainable INFRASTAR, serta Anugerah Pengiktirafan Khas, yang menghargai kecemerlangan dalam aspek kualiti, keselamatan, kesihatan dan kemampanan sektor pembinaan negara.
Sime Darby Property Bhd muncul sebagai penerima utama dengan meraih lima Anugerah Kecemerlangan QLASSIC serta Anugerah Pengiktirafan Khas atas komitmen jangka panjang terhadap kualiti pembinaan sejak 2008.
Kementerian Kesihatan (KKM) turut menerima pengiktirafan melalui 14 hospital dan fasiliti kesihatan yang dianugerahkan MYCREST Excellence Awards bagi kategori Operasi dan Penyelenggaraan, manakala Perbadanan PR1MA Malaysia dihargai atas pelaksanaan penilaian QLASSIC bagi 53 projek perumahan mampu milik di seluruh negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


