Skip to main content

Politik

BN digesa dedah senarai penderma denda RM50 juta Najib

Adam Adli (foto) berkata persoalan itu timbul atas prinsip ketelusan memandangkan kutipan dana terbabit berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 50 hari. -Gambar fail
Adam Adli (foto) berkata persoalan itu timbul atas prinsip ketelusan memandangkan kutipan dana terbabit berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 50 hari. -Gambar fail
Advertisement

AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) digesa mendedahkan senarai penderma yang membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan bayaran denda RM50 juta bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata persoalan itu timbul atas prinsip ketelusan memandangkan kutipan dana terbabit berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 50 hari.

Jelasnya, Pakatan Harapan (PH) menghormati ketetapan mahkamah, namun sumber sumbangan berkenaan wajar didedahkan kepada pengetahuan umum.

Advertisement

"Kita tidak ada masalah langsung. Kita junjung perkara tersebut. Namun menjadi persoalan, adakah BN sedia untuk mendedahkan senarai penderma tersebut supaya orang tahu dalam tempoh kurang 50 hari, maksudnya (ibarat) satu hari satu juta itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media terakhir PH menjelang hari pengundian PRN Melaka, di sini, hari ini.

Advertisement

Adam Adli berkata isu berkenaan perlu dilihat dalam kerangka lebih besar membabitkan integriti, amanah dan kebertanggungjawaban pemimpin terhadap kuasa.

Menurutnya, pengundi tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan sentimen kaum dan agama semata-mata, sebaliknya menilai prinsip serta nilai yang dibawa oleh sesebuah parti politik.

"Kalau nak disebut bahawa pilihan dalam politik ini turut dilandaskan, disandarkan kepada agama dan kaum, saya setuju.

"Tapi jangan hanya tengok kepada identiti, lihat kepada nilai yang dibawa," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip keadilan tidak terhad kepada individu tertentu, sebaliknya terpakai kepada semua tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.

Jelasnya, isu rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa juga perlu menjadi pertimbangan pengundi ketika memilih kerajaan negeri baharu.

Adam Adli turut menyeru rakyat Melaka mengekalkan semangat perpaduan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang cuba memecahbelahkan masyarakat mengikut garis kaum serta agama.

Katanya pengundi Melaka telah membuktikan kemampuan membuat pilihan politik yang berbeza dalam beberapa pilihan raya lepas dan diyakini mampu membuat pertimbangan sendiri pada hari pengundian esok.

Must Watch Video

Advertisement