KUALA LUMPUR: Sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan yang mampan, disokong oleh pemacu struktur seperti populasi yang semakin tua, peningkatan kelaziman penyakit tidak berjangkit dan inisiatif nasional yang mendorong pelancongan perubatan.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) melalui satu nota hari ini berkata mengikut anggaran industri, kapasiti katil hospital swasta di Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar empat dan lima peratus antara 2023 hingga 2028.
"Ini disokong oleh projek-projek yang dirancang di seluruh negara, yang akan membantu menangani kekurangan semasa dalam infrastruktur penjagaan kesihatan.
"Malaysia mempunyai dua katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk, meninggalkan ruang yang besar untuk pengembangan, yang merupakan petanda baik kepada pengendali penjagaan kesihatan swasta di Malaysia," katanya.
Bank pelaburan itu menekankan bahawa pengendali penjagaan kesihatan swasta dalam liputannya iaitu IHH Healthcare, KPJ Healthcare dan Sunway Healthcare, menyasarkan untuk mengembangkan kapasiti katil masing-masing sebanyak 53 peratus, 43 peratus serta lebih 70 peratus.
"Ini akan menjadikan jumlah kapasiti katil mereka masing-masing kepada 4,978; 6,000 dan 3,330, antara 2028 sehingga 2032, meletakkan mereka dengan baik bagi mengambil peluang ke atas permintaan tambahan," katanya.
Kenanga IB telah menaik taraf saranannya terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan memberi 'wajaran tinggi' daripada 'neutral' sebelum ini, disokong oleh penarafan 'mengatasi pasaran' pada IHH Healthcare dan KPJ Healthcare, dengan harga sasaran masing-masing RM9.10 serta RM3.05.
-- BERNAMA