Skip to main content

Bisnes

Selangor catat hasil RM3 bilion, perkukuh usaha tangani kemiskinan

Amirudin berucap ketika hadir pada Majlis Apresiasi Media 2026 di SITC Seksyen 14 pada Selasa. - Gambar Bernama
Amirudin berucap ketika hadir pada Majlis Apresiasi Media 2026 di SITC Seksyen 14 pada Selasa. - Gambar Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Selangor mencatatkan kutipan hasil negeri sebanyak RM3 bilion setakat semalam mengatasi unjuran RM2.8 bilion yang ditetapkan dalam belanjawan negeri sebelum ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, pencapaian itu menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri berada pada landasan yang baik selain mencerminkan perkembangan positif dalam pelaksanaan agenda pembangunan Selangor.

“Ketika saya bentangkan belanjawan (negeri) pada 13 November lepas, pendapatan kita mencecah RM2.95 bilion dan semalam telah mencecah RM3 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media 2026 anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Selangor, di sini, pada Selasa.

Advertisement

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat menerusi pendekatan baharu yang melangkaui ukuran kemiskinan sedia ada.

Beliau memberitahu, meskipun Selangor berjaya mencapai sifar miskin tegar, masih terdapat hampir 65,000 individu berdaftar dalam sistem eKasih yang memerlukan perhatian dan bantuan berterusan.

Advertisement

Justeru, katanya, kerajaan negeri sedang merangka pendekatan kadar kehidupan wajar atau kehidupan bermaruah bagi memastikan bantuan dan sokongan yang disalurkan benar-benar mampu mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan.

“Pada waktu ini, kita sedang berusaha meningkatkan ukuran kemiskinan kepada kadar hidup berkualiti atau kadar hidup wajar, kadar hidup bermaruah yang kita hendak namakan.

“Insya-Allah, Jun kita akan namakan dan perkara itu akan diselaraskan dengan ICU selain mengambil kira konteks miskin tegar dan miskin relatif,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, pendekatan berkenaan bertujuan mewujudkan kerangka baharu dalam menilai keperluan sebenar rakyat supaya bantuan yang diberikan bukan sekadar memenuhi keperluan asas, sebaliknya membantu meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Amirudin berkata, Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNG) juga kini bukan sahaja bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek pembangunan berskala besar, malah turut memberi perhatian kepada isu kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement