KUALA LUMPUR: Genting Oil and Gas Ltd (GOGL) menerima surat daripada Pasukan Petugas Khas Indonesia bagi Aktiviti Perniagaan Minyak dan Gas Huluan (SKKMigas) berkenaan kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Galian Republik Indonesia (MEMR) bagi semakan semula pelan pembangunan fasa pertama (POD 1) Blok Kasuri di West Papua.

GOGL adalah anak syarikat milik penuh tidak langsung Genting Oil Kasuri Pte Ltd, yang seterusnya merupakan anak syarikat milik penuh tidak langsung Genting Bhd (Genting).

Genting dalam satu kenyataan berkata semakan semula itu adalah bagi struktur Asap, Merah dan Kido (AMK) yang pada asalnya menggunakan 1.735 trilion kaki padu (tcf) gas-initial-in-place (GIIP) dalam pembentukan Roabiba di struktur AMK untuk membekalkan gas asli ke loji petrokimia yang akan dibina di Teluk Bintuni, bagi tempoh 20 tahun.

Semakan semula kepada POD 1 kini akan menggunakan 2.674 tcf GIIP, yang akan didapatkan daripada 1.735 tcf GIIP dalam POD 1, dan sebanyak 0.939 tcf GIIP daripada sumber tambahan Merah dan pembentukan Steenkool.

"Semakan semula POD 1 itu adalah bertujuan membekalkan 230 juta kaki padu sehari (mmcfd) gas asli ke loji Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) selama tempoh 18 tahun, serta satu lagi bekalan 101 mmcfd gas asli ke kilang Ammonia dan Urea (Amurea) yang akan dibina di West Papua, Indonesia, bagi tempoh 17 tahun.

"Kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) ketika ini bagi Blok Kasuri di West Papua akan tamat pada 2038," katanya.

-- BERNAMA