KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran meningkat untuk mengakhiri minggu ini dengan prestasi tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, dirangsang oleh sentimen yang bertambah baik susulan harapan terhadap dasar monetari global yang lebih longgar tahun ini, kata pakar ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat semula kepada 4.6815/6855 berbanding dolar AS daripada 4.7025/7080 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mencatatkan prestasi yang memberangsangkan hari ini susulan kenyataan terbaru Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell mengenai prospek kadar faedah AS.

"(Kenyataan) Pengerusi Fed terus menunjukkan bahawa masih ada harapan untuk penurunan kadar faedah berlaku di AS tahun ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam masa sama, data eksport China yang lebih baik berbanding jangkaan, yang meningkat 7.1 peratus dalam tempoh Januari-Februari berbanding unjuran pasaran pada 1.5 peratus, turut menyokong ringgit.

"Perkara itu merupakan permulaan yang baik dengan mengambil kira kerajaan China mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam lingkungan 5.0 peratus tahun ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik susut berbanding pound Britain kepada 6.0050/0101 daripada 5.9952/6.0022 ketika ditutup pada Khamis serta turun berbanding yen Jepun kepada 3.1821/1850 daripada 3.1778/1817.

Walau bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.1188/1231 daripada 5.1257/1317 semalam.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5160/5192 daripada 3.5201/5247 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 300.2/300.6 daripada 300.3/300.8.

Mata wang domestik hampir mendatar berbanding baht Thailand kepada 13.2134/2321 daripada 13.2130/2340 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.42/8.43.

-- BERNAMA