KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd menjangkakan permintaan daripada pasaran China untuk perniagaan motor dan perindustriannya akan pulih pada tahun ini berikutan pembukaan semula aktiviti ekonomi di negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kumpulan meramalkan permintaan kereta dan komoditi dari China akan meningkat semula dan berkembang selepas hampir tiga tahun menempuhi perniagaan yang kurang memberangsangkan dari rantau itu akibat pandemik.

"China akan kembali rancak dan ia akan mendorong permintaan ke atas kereta dan komoditi seperti keluli dan arang batu metalurgi, dan ini akan memacu permintaan daripada lombong kami di Australia.

"Permintaan asas terhadap kereta mewah di China kekal teguh. Satu persoalannya ialah berapa lama tempoh yang diambil oleh masyarakat untuk keluar dan kembali membeli kereta.

"Mengenai peralatan perindustrian, kami positif bahawa pembangunan hartanah (di China) akan kembali meningkat," katanya dalam taklimat media mengenai keputusan Sime Darby bagi suku kedua di sini pada Khamis.

Terdahulu, Sime Darby dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM389 juta pada suku kedua berakhir 31 Dis 2022 berbanding RM345 juta pada suku kedua 2022.

Perolehan turut meningkat sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun kepada RM11.29 bilion pada suku berkenaan daripada RM10.49 bilion sebelum ini, didorong oleh sumbangan tinggi daripada bahagian perindustrian, diterajui oleh operasinya di Australasia.

Menurut Jeffri, sepanjang suku yang lepas, kumpulan berupaya mengimbangi pendapatan yang merosot daripada perniagaan di China menerusi jualan lebih baik di negara-negara seperti Malaysia, Australia dan New Zealand.

"Kami berada dalam sektor yang positif, tentunya perniagaan di Malaysia turut baik dengan nilai perolehan kontrak yang kukuh manakala perniagaan trak kami di New Zealand juga teguh," katanya.

Mengenai unjuran, Jeffri berkata kumpulan kekal optimis bagi separuh kedua tahun kewangan 2023 berikutan permintaan dari China yang dijangka pulih di samping harga komoditi yang lebih teguh.

"Walaupun terdapat kemungkinan mengenai risiko kemelesetan global, kami masih positif mengenai unjuran perniagaan disebabkan operasi kami yang seimbang. Kami mempunyai pelbagai portfolio yang boleh dimanfaatkan sekiranya berdepan keadaan tidak memberangsangkan di sebahagian kawasan," katanya.

-- BERNAMA