SINGAPURA: Singapura akan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN lain bagi memperkukuh integrasi serantau dan memperluas kerjasama dengan semua rakan termasuk China apabila republik itu mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Beliau berkata ASEAN dan China sudah pun menikmati hubungan ekonomi yang erat serta substantif, dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China telah membantu memperkukuh jalinan berkenaan.
"Naik taraf terbaharunya yang merangkumi bidang seperti ekonomi digital dan hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan serta inovasi akan membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan dan rakyat kami," katanya dalam sebuah artikel pendapat menjelang Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33.
Artikel pendapat beliau itu disiarkan di laman sesawang Pejabat Perdana Menteri pada Rabu.
Wong yang juga Menteri Kewangan Singapura menegaskan bahawa republik itu turut berhasrat mempertingkat kerjasama dengan China dan negara anggota APEC berteraskan perkongsian kukuh yang telah terjalin sejak beberapa dekad lepas.
Beliau berkata APEC turut berfungsi sebagai satu lagi platform penting dalam memupuk kerjasama di rantau yang lebih luas.
"Ketika dunia berdepan perpecahan yang semakin ketara, Singapura dan China boleh bekerjasama serta bersama rakan lain untuk membuktikan nilai keterbukaan, dialog dan kerjasama yang berkekalan.
"Dengan memperkukuh hubungan dan bukannya membina halangan, kita dapat membantu membina rantau Asia-Pasifik yang lebih berdaya tahan dan makmur, serta mencipta masa depan yang lebih baik untuk rakyat kita," katanya.
Wong turut menyatakan bahawa Singapura kekal sebagai penyokong kuat seni bina ekonomi yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan.
"Kami percaya kerjasama serantau seharusnya mendekatkan negara-negara dan bukannya memecah belahkan mereka kepada blok-blok yang bersaing," katanya.
-- BERNAMA