Simpanan patuh syariah KWSP bersihkan pendapatan, dividen kekal kompetitif

Simpanan patuh syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sahaja membersihkan pendapatan, malah memberi pulangan dividen yang lebih kompetitif dan tidak merugikan pencarum. - Gambar fail
SHAH ALAM: Simpanan patuh syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sahaja membersihkan pendapatan, malah memberi pulangan dividen yang lebih kompetitif dan tidak merugikan pencarum.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, menerusi akaun simpanan syariah, pencarum beragama Islam mempunyai peluang membersihkan pendapatan dan simpanan persaraan mereka.
Beliau berkata, dari segi pelaburan, simpanan syariah memberi pulangan yang paling optimum.
"Sehubungan itu usaha untuk mencari peluang pelaburan perlu dilipat gandakan dan peluang berkenaan bukan sahaja tertumpu di pasaran domestik tetapi juga di pasaran global.
"Pulangan simpanan syariah dalam KWSP pada tahun lalu juga menunjukkan dividen yang kompetitif. Justeru, dari sudut komersial, justifikasi untuk beralih ke simpanan patuh syariah tidak merugikan pencarum," katanya kepada Bernama pada Khamis.
Beliau mengulas langkah yang diambil Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam yang menjalin kerjasama strategik dengan KWSP bagi memperkukuh kefahaman berkenaan pengurusan harta dan kewangan berlandaskan syariah kepada masyarakat Islam di negeri itu.
Kerjasama itu juga merangkumi usaha mempromosikan Akaun Simpanan Shariah KWSP dan menggalakkan umat Islam menyucikan harta mereka dengan mencarum ke dalam akaun patuh syariah.
MAIS dilaporkan merekodkan kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM2.7 juta tahun lepas, yang menunjukkan masih ramai dalam kalangan masyarakat di Selangor terlibat dengan sumber kewangan yang tidak berlandaskan syariah.
Sementara itu, Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, simpanan patuh syariah KWSP memberi kelebihan utama dari segi ketenangan jiwa dan keyakinan moral.
Beliau berkata, pelaburan patuh syariah dilakukan dalam instrumen dan sektor yang mematuhi garis panduan syariah tanpa terlibat dengan unsur riba, gharar atau maisir, tidak seperti pelaburan konvensional yang lain.
Mohamad Idham berkata, pelaburan patuh syariah biasanya lebih berhati-hati dan beretika, dengan fokus kepada aset nyata dan perniagaan yang berasaskan nilai sebenar.
"Justeru ia lebih mampan dalam jangka panjang walaupun kadar pulangannya mungkin sedikit berbeza berbanding konvensional," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


