SME Corp Malaysia negeri Terengganu memperuntukkan RM1.3 juta untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir akhir tahun lalu bagi meringankan
beban kewangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata setakat ini, SME Corp Terengganu mengenal pasti 43 usahawan dari Dungun dan Kemaman yang terjejas teruk ekoran banjir berkenaan.

"Kesemua mereka akan menerima geran antara RM20,000 hingga maksimum RM100,000 dan ia bergantung kepada taksiran kerugian yang dialami mereka seperti kemusnahan premis perniagaan dan kerosakan peralatan akibat bencana itu.

"Selain itu, SME Corp Terengganu turut menerima permohonan daripada 35 usahawan dari daerah lain yang turut terjejas banjir dan bantuan akan diberi agar mereka dapat meneruskan perniagaan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Bingkisan Pasca Banjir anjuran SME Corp, kerajaan negeri Terengganu dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Terengganu di sini hari ini.

Dua usahawan hari ini masing-masing menerima geran RM20,000 daripada dana tersebut manakala usahawan lain akan menerimanya secara berperingkat.

Dana Kecemasan PKS yang diwujudkan SME Corp Malaysia dan Malaysia Industrial Development Finance (MIDF) itu adalah sebagai satu langkah proaktif oleh pihak kerajaan agar usahawan PKS yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir dapat beroperasi semula.

Sementara itu, Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata dana tersebut disalurkan dalam bentuk Skim Pinjaman Mudah dan Geran kepada PKS yang terjejas perniagaannya untuk pembiayaan pembelian mesin dan peralatan, pembelian bahan mentah atau stok serta pembiayaan pembaikan premis perniagaan.

"Kita masih membuka permohonan untuk mana-mana PKS mendapatkan dana ini dan permohonan dibuka dalam tempoh setahun selepas berlaku bencana.

Penubuhan Dana Kecemasan PKS sebanyak RM10 juta itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2012, malah setiap tahun, jumlah sama diperuntukkan bagi membantu usahawan terlibat bencana termasuk banjir.

Dana Kecemasan PKS itu merangkumi semua sektor ekonomi dengan pinjaman bermula daripada RM50,000 hingga maksimum RM100,000 di mana pembiayaannya sehingga 90 peratus daripada kos-kos pembelian mesin dan peralatan, pembelian bahan mentah atau stok serta pembiayaan pembaikan premis perniagaan yang akan diuruskan oleh MIDF.

Bagi pembiayaan geran, SME Corp menyediakan RM30,000 bagi setiap PKS untuk membaiki peralatan yang rosak dan mengubah suai premis yang terjejas akibat banjir.