KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan, CGS CIMB Research menjangkakan SP Setia Berhad akan melancarkan beberapa projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.25 bilion pada FY2022 mengatasi nilai RM2.24 bilion pada FY2021.

Sebahagian 58% daripada projek baharu itu melibatkan projek pembangunan hartanah di bawah harga RM1 juta manakala bakinya melibatkan pembangunan di atas RM1 juta setiap satu.

"Dari segi komposisi produk, 65% merupakan projek perumahan bertanah diikuti perumahan mampu milik (13%), unit komersial (12%), servis apartmen (5%), kondominuium dan apartmen (3%) dan unit industrti sebanyak 2%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, SP Setia mencatatkan keuntungan bersih RM284.37 juta bagi FY2021 berbanding kerugian bersih sebanyak RM320.75 juta bagi FY2020 dengan pendapatan kumpulan itu meningkat sebanyak 16.56% kepada RM3.76 bilion daripada RM3.23 bilion.

Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 118.24% kepada RM123.32 untuk 4QFY2021 yang berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM56.5 juta tahun sebelumnya dengan peningkatan margin keuntungan hasil daripada beberapa jalinan kerjasama.

Bagaimanapun, pendapatan bagi suku itu menurun sebanyak 7.28% kepada RM1.03 bilion berbanding RM1.11 bilion akibat sumbangan yang rendah daripada segmen pembangunan hartanah mereka.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyasarkan jualan hartanah baharu sebanyak RM4 bilion bagi FY2022 dan pada penghujung FY2021 mereka sudah menerima tempahan bernilai RM555 juta.

Katanya, SP Setia merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak RM4.06 pada FY2021 berbanding RM3.82 pada FY2020 dan ia mengatasi sasaran RM3.8 bilion sasaran jualan bagi FY2021 dengan 82% jualan hartanah baharu datang daripada projek tempatan manakala baki 12% daripada projek antarabangsa.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' untuk saham-saham SP Setia dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM1.84 sesaham.

"SP Setia berada pada landasan yang baik dengan jangkaan perolehan sesaham (EPS) yang stabil pada FY2022 selepas penyerahan projek antarabangsa dan rizab tanah yang besar membolehkan mereka menjalankan projek mengikut kehendak pelanggan," katanya. - DagangNews.com