Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menganggarkan perolehannya pada tahun 2017 adalah sebanyak RM600 juta.

Pengerusi Kumpulan SPNB Holdings, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata perolehan itu merangkumi pelbagai projek perumahan tidak termasuk rumah mesra rakyat.

"Perolehan kita dianggarkan RM600 juta ketika ditutup pada 31 Dis 2017. Ini bermakna, setiap hari RM1.5 juta produk kita terjual," jelasnya.

Katanya, buat masa ini SPNB tidak menggunakan peruntukan dari kerajaan dan mengutip hasil pendapatannya 100 peratus dari jualan produk-produknya.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, SPNB mensasarkan pembinaan lagi 15,000 unit rumah mampu milik bagi tahun 2018.

"Sasaran tahun ini kita jangka akan membina lagi 15,000 unit. Kita yakin pasaran itu ada, kerana harga yang kita jual adalah sekitar 10 hingga 15 peratus di bawah harga pasaran," katanya.

Mereka berdua ditemui semasa sidang media di majlis penyerahan wang pampasan insuran hayat kepada kakitangan SPNB di ibu kota pada Selasa.