SEOUL: Tayangan siri drama sensasi dari Korea Selatan di Netflix, Squid Game dilaporkan telah mencetuskan ledakan pembelian saham hiburan di negara tersebut.

Bermula daripada kumpulan BTS dan kini ‘menjangkiti’ Squid Game, hiburan Korea Selatan semakin popular dalam kalangan pengguna dan pelabur saham, menurut laporan Bloomberg.

Difahamkan, Bucket Studio Co yang memegang kepentingan di dalam agensi naungan pelakon utama Squid Game, menyaksikan lonjakan saham sehingga dua kali ganda dalam bulan ini sahaja.

Turut menerima tempias positif adalah saham ShowBox Corp yang melabur di dalam firma produksi drama tersebut, Siren Pictures, mencatatkan lonjakan harga saham sebanyak 55%.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan penstriman global difahamkan meningkatkan pelaburan mereka di dalam kandungan hiburan Korea Selatan.

Netflix dilaporkan merancang untuk meningkatkan perbelanjaan mereka ke dalam filem dan rancangan televisyen dari negara tersebut kepada AS$500 juta pada tahun ini.

“Mana-mana syarikat boleh menerbitkan kandungan ‘hit’.

“Kami tidak dapat meneka siapa yang akan menghasilkan ‘Squid Game’ seterusnya kerana semua boleh melakukannya,” jelas penganalisis di Hana Financial Investment Co., Lee Kihoon.

Satu lagi saham syarikat hiburan yang disarankan untuk dibeli oleh pelabur, menurut Kihoon, adalah penerbit drama yang juga popular ditayangkan di Netflix, 'Hometown Cha-Cha-Cha', iaitu Studio Dragon Corp.

Ini kerana anak syarikat kepada firma perfileman gergasi di Korea Selatan, CJ ENM Co. itu mempunyai nilai pasaran yang agak besar sebanyak AS$2.2 bilion dan hanya bersaing dengan pemain industri kecil.

Squid Game mula ditayangkan di Netflix pada 17 September lalu serta dilaporkan telah mendahului kedudukan tayangan popular bukan berbahasa Inggeris lain iaitu Money Heist dan Lupin.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos dalam satu laporan media berkata bahawa rancangan tersebut berkemungkinan mampu mengungguli kedudukan tayangan nombor satu di platform tersebut.


*Berita asal di DagangNews.com